Untung bersih Aeon Credit pada 1QFY23 dalam jangkaan, permintaan pembiayaan terus disokong kemampanan ekonomi – Kenanga Research

Business & Finance
11 Jul 2023 • 10:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Aeon Credit pada 1QFY23 dalam jangkaan, permintaan pembiayaan terus disokong kemampanan ekonomi – Kenanga Research

diyana

11/07/2023 - 10:35

KUALA LUMPUR 11 Julai - Keuntungan bersih Aeon Credit Service (M) Berhad pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) dalam jangkaan, dengan penurunan pendapatan mungkin disebabkan oleh kemerosotan bermusim yang lebih tinggi.

Kenanga Research berkata keuntungan bersih kumpulan pada suku semasa sebanyak RM99.3 juta, susut 39% tahun ke tahun merangkumi 24% daripada unjuran tahun penuhnya dan konsensus.

Firma penyelidikan itu menjangkakan permintaan pembiayaan Aeon Credit disokong oleh kemampanan ekonomi umum dengan kumpulan itu menyasarkan pertumbuhan sekurang-kurangnya sebanyak 10%, di mana setakat ini berada pada 12%.

“Kami tidak melihat peningkatan dalam kemerosotan kumpulan sebagai kebimbangan buat masa ini memandangkan Aeon Credit lazimnya menunjukkan perubahan dalam buku pembiayaannya.

“Ini boleh dikaitkan dengan pelanggan B40 kumpulan yang mungkin sensitif dalam mengutamakan semula keputusan aliran tunai, di mana dalam tempoh semasa mungkin disebabkan musim Raya yang lebih awal, pada pendapat kami,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma itu menjangkakan pembayaran balik akan diteruskan secara beransur-ansur apabila keadaan menjadi normal, terutamanya didorong oleh segmen motor kumpulan iaitu moped.

Selagi prospek ekonomi kekal utuh, walaupun mungkin pada kadar lebih perlahan, Kenanga Research berkata permintaan untuk pembiayaan akan terus disokong.

Di samping itu, kumpulan itu juga akan dibantu oleh platform on-boarding digitalnya yang melancarkan proses permohonan pelanggan baharu.

Berbanding dengan institusi perbankan konvensional, Kenanga Research berkata Aeon Credit menguasai pulangan ke atas ekuiti (ROE) lebih daripada 15% walaupun hasil dividen sederhana pada 5%.

“Kami terus menjangkakan sentimen untuk saham itu bertambah baik dengan kemas kini berikutnya kerana ia merupakan proksi kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih kukuh, manakala lesen perbankan digital Islamnya menawarkan cadangan nilai baharu kepada pelanggan,” tambahnya.

Susulan keputusan 1QFY23 tersebut, firma tersebut tidak mengubah unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24/25) sambil mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM16.15 sesaham.

Pada waktu penulisan, saham Aeon Credit menokok 2 sen atau 0.2% kepada RM11.20 dengan modal pasaran bernilai RM2.86 bilion. - DagangNews.com