Untung bersih Astino melonjak 4 kali ganda kepada RM11.78 juta bagi 2QFY24 didorong pertumbuhan jualan
diyana
22/03/2024 - 17:34
KUALA LUMPUR 22 Mac - Astino Berhad telah mencatat keuntungan bersih sebanyak RM11.78 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), melonjak empat kali ganda daripada RM2.95 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan kumpulan pada suku berakhir 31 Januari 2024 itu turut meningkat 18% kepada RM169 juta berbanding RM143 juta, manakala pendapatan sesaham (EPS) menokok kepada 2.41 sen daripada 0.6 sen sebelumnya.
Syarikat pembuatan produk berkaitan bahan binaan besi itu berkata, prestasi pada suku dalam tinjauan didorong oleh peningkatan jualan dan margin keuntungan berikutan lonjakan permintaan dalam pasaran tempatan.
Secara kumulatif, keuntungan bersih Astino dalam separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) melonjak dua kali ganda kepada RM20.35 juta daripada RM10.27 juta yang direkod dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, pendapatannya dalam tempoh tersebut bernilai RM334.86 juta, 7.5% lebih tinggi berbanding RM311.45 juta pada tahun sebelumnya.
“Kumpulan menjangkakan permintaan akan kekal sederhana berikutan peningkatan kos input, kos material yang tidak menentu dan kelemahan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.
“Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, kumpulan sentiasa optimistik untuk mencapai prestasi yang lebih mampan kerana permintaan pasaran untuk produk kami terus kukuh,” kata Astino dalam makluman tersebut.
Saham Astino ditutup rendah pada 57.5 sen hari ini, susut 0.5 sen atau 0.9% dengan permodalan pasarannya berjumlah RM283.7 juta. - DagangNews.com


