Untung bersih Bursa Malaysia 2Q24 dijangka cecah RM85 juta, RHB IB kekal saranan 'Beli'
herman
23/07/2024 - 09:41
KUALA LUMPUR 23 Julai 2024 - Bursa Malaysia dijangkakan mencatat prestasi kewangan yang lebh baik bagi suku kedua 2024 (2Q24) dengan keuntungan bersih dijangka mencapai antara RM75 hingga RM85 juta.
RHB Investment Bank berkata, ini menjadikan jumlah keuntungan separuh pertama 2024 (1H24) sebanyak kira-kira RM160 juta dengan prestasi ini didorong oleh peningkatan yang kukuh dalam pasaran sekuriti dan derivatif.
"Menurut analisis terkini, pendapatan Bursa Malaysia pada 2Q24 mencatatkan pertumbuhan yang signifikan, dengan nilai transaksi harian purata (SADV) mencapai RM3.9 bilion, meningkat 22% berbanding suku sebelumnya dan dua kali ganda dibanding tahun sebelumnya.
"Peningkatan ini mengatasi jangkaan asal-analisis, yang sebelumnya meramalkan SADV tahun 2024 sebanyak RM3.2 billion," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Jelas firma penyelidikan itu, di sektor derivatif, purata kontrak harian (DADC) untuk 2Q24 menunjukkan angka sebanyak 85,600, meningkat 2% berbanding suku sebelumnya dan 10% dibanding tahun sebelumnya.
Kata RHB Investment, ini memberi petanda positif terhadap pendapatan Bursa Malaysia yang dijangka mencecah kira-kira RM200 juta untuk 2Q24, naik sebanyak 7% dari suku sebelumnya dan 38% dibanding tahun sebelumnya.
"Selain itu, pengurusan Bursa Malaysia juga mengesahkan bahawa perbelanjaan operasi (opex) mungkin akan berada di bawah panduan yang telah ditetapkan sebelum ini, memungkinkan peningkatan lebih lanjut dalam keuntungan bersih yang dijangka untuk separuh tahun pertama 2024 (1H24).
"Para analis juga meramalkan kemungkinan Bursa Malaysia akan mengumumkan dividen khusus berikutan prestasi kewangan yang cemerlang, dengan potensi pembayaran hingga RM70 juta, setara dengan 9 sen bagi setiap saham, atau tambahan yield sebanyak 0.9%," ujarnya.
Sementara tu, RHB Investment mengekalkan saranan 'Bursa Malaysia' kepada 'Beli' dengan Harga sasaran baharu (TP) setinggi RM11.25 sesaham, merangkumi premium ESG 6%.
Katanya, ini disokong oleh keyakinan terhadap kekuatan pasaran sekuriti yang berterusan dan kemungkinan pengumuman dividen khusus yang berpotensi memberikan dorongan tambahan kepada harga saham.
"Saham Bursa Malaysia telah mencatatkan kenaikan sebanyak 44% sepanjang tahun ini, menunjukkan daya tarikan yang kuat di kalangan pelabur yang mementingkan prestasi kewangan dan potensi pulangan dividen," katanya.- DagangNews.com


