Untung bersih CCK jatuh kepada RM61 juta bagi FY25 berikutan pengurangan subsidi ayam dan telur

LocalBusiness & Finance
29 Apr 2026 • 6:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih CCK jatuh kepada RM61 juta bagi FY25 berikutan pengurangan subsidi ayam dan telur Image from: Untung bersih CCK jatuh kepada RM61 juta bagi FY25 berikutan pengurangan subsidi ayam dan telur amree29/04/2026 - 18:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 April – Keuntungan bersih CCK Consolidated Holdings Berhad jatuh kepada RM61.16 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) berbanding RM71.49 juta pada FY24.


Penurunan ini disebabkan terutama sumbangan yang lebih rendah akibat pengurangan subsidi kerajaan berkaitan dengan harga siling bagi ayam pedaging dan telur, serta kelemahan segmen ayam dan runcit.


Pendapatan kumpulan berkenaan menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, adalah merosot sedikit kepada RM1.048 bilion berbanding RM1.057 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya. 


"Walaupun segmen runcit dan udang menunjukkan ada peningkatan, ia masih lagi tidak cukup untuk menampung sumbangan yang lebih lemah daripada segmen ayam dan perkhidmatan makanan," kata CCK.


Hasil segmen ayam susut kepada RM342.6 juta akibat jualan lebih rendah dari pelanggan institusi dan rangkaian runcit kumpulan sendiri, dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) ialah RM20.3 juta.


Sementara itu, meskipun pendapatan segmen runcit meningkat kepada RM825.6 juta, PBT susut kepada RM68.2 juta disebabkan volum jualan rendah daripada rangkaian runcit domestik dan pelarasan harga.


CCK berkata, perbelanjaan operasi dan pentadbiran naik berikutan pengembangan rangkaian runcit di Sabah dan Sarawak, serta pembesaran kapasiti pengeluaran di Indonesia melalui PT Adilmart.


"Segmen udang namun mencatatkan peningkatan PBT sebanyak 24.9% kepada RM11.3 juta, didorong oleh jualan yang semakin kukuh di pasaran domestik Indonesia dan campuran jualan lebih baik," katanya.


Menyentuh mengenai prospek FY26, kumpulan itu walaupun berdepan cabaran kos dedak yang tinggi dan ketidaktentuan mata wang, tetap optimis terhadap permintaan berterusan untuk produk makanan ruji.


Kumpulan kini dalam proses menyiapkan kemudahan pemprosesan makanan ketiga di Boyolali, wilayah Jawa Tengah, yang dijangka mula beroperasi pada tahun ini untuk mengukuhkan pasaran di Indonesia.


Lembaga Pengarah CCK turut mengumumkan cadangan dividen satu peringkat akhir sebanyak 4.0 sen sesaham bagi FY25 sebagai menghargai para pemegang saham kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard