Untung bersih Country View melonjak 64% kepada RM1.6 juta pada 3QFY23 didorong jualan rumah di Iskandar Puteri
diyana
24/10/2023 - 17:41
KUALA LUMPUR 24 Okt - Country View Berhad telah mencatat keuntungan bersih RM1.6 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 November 2023 (3QFY23), melonjak 64% daripada RM977,000 dalam tempoh sama tahun lalu, didorong jualan rumah di Aurora Sentral, Iskandar Puteri.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, keuntungan sebelum cukai Country View bagi suku semasa telah meningkat terutamanya disebabkan segmen pembangunan hartanah berikutan pelarasan harga jualan unit Bumiputera dan kemajuan kerja Aurora Resort Villas (ARV) Fasa 1 di Aurora Sentral yang telah dijual berserta sumbangan daripada jualan ARV Fasa 2.
Sebaliknya, pendapatan kumpulan pada 3QFY23 menyusut 5% kepada RM28.1 juta berbanding RM29.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan sesaham (EPS) kumpulan telah naik kepada 1.6 sen daripada 0.98 sen.
Secara kumulatif, keuntungan bersih kumpulan bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) melonjak lebih dua kali ganda kepada RM4.7 juta daripada RM2.03 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan kumpulan pada 9MFY23 pula meningkat 34% kepada RM76 juta berbanding RM56.6 juta sebelumnya.
Mengulas tentang prospek, Country View berkata ia kekal berwaspada terhadap cabaran dan peluang untuk FY23.
Katanya, antara cabaran yang perlu ditangani adalah risiko kelemahan dan ketidaktentuan berikutan perang Israel-Hamas; perang Rusia-Ukraine yang berpanjangan; harga komoditi dan bahan yang tinggi; bekalan buruh yang ketat; peningkatan inflasi dan kadar faedah; dan ekonomi global perlahan akibat risiko kemelesetan.
“Sementara itu, kami akan memanfaatkan permintaan untuk hartanah selepas pandemik susulan pelancaran ARV eksklusif fasa pertama dan kedua yang mendapat sambutan menggalakkan.
“Kumpulan telah melancarkan ARV fasa kedua di Aurora Sentral pada Mei 2023 yang memperoleh jualan menggalakkan,” katanya.
Kumpulan itu menjangkakan pendapatan dan prestasi FY23 diperoleh daripada penjualan hartanah di Taman Nusa Sentral serta pembangunan berterusan ARV di Aurora Sentral, kedua-duanya terletak di Iskandar Puteri, Johor. - DagangNews.com

