Untung bersih DRB-Hicom merosot 51% kepada RM70.8 juta pada 3QFY23

Business & Finance
23 Nov 2023 • 6:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih DRB-Hicom merosot 51% kepada RM70.8 juta pada 3QFY23

diyana

23/11/2023 - 18:03

KUALA LUMPUR 23 Nov - Keuntungan bersih DRB-Hicom Berhad merosot dua kali ganda atau 51% kepada RM70.8 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berbanding RM143.95 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan syarikat automotif itu sebanyak RM4 bilion pada suku dalam tinjauan juga adalah 12% lebih rendah daripada RM4.5 bilion tahun lalu, manakala pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pada 3QFY23 susut kepada 3.66 sen berbanding 7.45 sen sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata pendapatannya merosot pada suku berakhir 30 September itu terutamanya disebabkan penurunan dalam sektor perniagaan automotif (15.3%), aeroangkasa dan pertahanan (31.6%) dan pos (12.4%).

Bagi sektor automotif, kumpulan itu berkata Proton menghadapi cabaran berikutan pelancaran model kereta baharu oleh pesaing dan dengan itu mencapai jualan yang lebih rendah pada suku semasa.

Sektor terbabit mencatat pendapatan lebih rendah berjumlah RM2.89 bilion pada 3QFY23, berbanding RM3.4 bilion.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), DRB-Hicom mencatatkan keuntungan bersih bernilai RM212 juta, menyusut 26% daripada RM287.8 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, pendapatannya meningkat sedikit 8% kepada RM12 bilion berbanding RM11 bilion.

Mengulas tentang prospek tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), kumpulan itu berkata ia kekal teguh dalam melaksanakan strateginya untuk memacu perniagaan ke hadapan.

“Dalam sektor automotif, Proton akan menembusi pasaran tempatan bagi kenderaan elektrik dengan menampilkan teknologi terkini pada tahun-tahun akan datang.

“Jenama-jenama lain di bawah kumpulan, seperti Honda, Mitsubishi dan Isuzu, akan terus merancakkan tarikan pasaran dengan pengenalan model-model menarik yang sedang dalam perancangan,” katanya.

Sementara itu, sektor perniagaan yang lain iaitu perbankan, aeroangkasa dan pertahanan, perkhidmatan dan hartanah akan kekal memberi tumpuan kepada memelihara nilai dan mempergiatkan usaha kelestarian.

Bagi sektor pos pula, kumpulan itu berkata ia meneruskan perjalanan transformasinya, menekankan usaha pendigitalan untuk menyelaraskan operasi pos, menambah baik pengalaman pelanggan dan membangunkan potensi perniagaan baharu.

“Usaha ini bertujuan untuk mengukuhkan daya tahan dalam bertindak balas kepada keadaan pasaran yang mencabar. Kumpulan menjangkakan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023,” tambahnya.

Saham DRB-Hicom ditutup rendah 2 sen atau 1.4% kepada RM1.43 dengan permodalan pasaran berjumlah RM2.76 bilion. - DagangNews.com