Untung bersih ELK-Desa merosot 23% kepada RM8.8 juta pada 2QFY23, isytihar dividen 2 sen sesaham
diyana
16/11/2023 - 14:38
KUALA LUMPUR 16 Nov - ELK-Desa Resources Berhad mencatat keuntungan bersih RM8.8 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), merosot 23% daripada RM11.5 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu, disebabkan sumbangan lebih rendah daripada segmen sewa beli dan perabot.
Bagaimanapun, pendapatan kumpulan pada suku berakhir 30 September itu meningkat 9% kepada RM39.2 juta berbanding RM36 juta tahun lalu disebabkan sumbangan pendapatan lebih tinggi daripada segmen sewa belinya.
Sementara itu, syarikat pemberi pinjaman bukan bank bertumpukan segmen kereta terpakai tersebut mencatat pendapatan sesaham (EPS) pada 1.94 sen daripada 2.53 sen tahun lalu, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 2 sen sesaham yang akan dibayar pada 18 Disember 2023.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), keuntungan bersih ELK-Desa jatuh 40% kepada RM17.3 juta berbanding RM29 juta dalam tempoh sama tahun lalu sementara pendapatannya berjumlah RM78 juta, naik 4.5% daripada RM75 juta tahun lalu.
Setakat 30 September 2023, hutang sewa beli kumpulan berjumlah RM588.8 juta, iaitu 13% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya, sejajar dengan strateginya untuk mendorong kembali hutang sewa beli ke paras sebelum pandemi.
Di samping itu, pinjaman bank ELK-Desa meningkat 23% disebabkan pengeluaran kemudahan pendiskaunan blok yang lebih tinggi untuk menyokong peningkatan hutang sewa beli.
Bagaimanapun, penggearan kumpulan kekal pada tahap terurus pada 0.52 kali berbanding 0.43 kali setahun yang lalu.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan ELK-Desa, Teoh Seng Hee berkata permintaan untuk pasaran pembiayaan kereta terpakai yang khusus dan kurang mendapat perkhidmatan di mana ELK-Desa beroperasi terus mengatasi bekalan.
Menyedari ketidaktentuan makroekonomi dalam landskap operasi, Teoh berkata kumpulan itu tidak menjangkakan perkembangan mendadak serupa dalam portfolio sewa beli.
“Walaupun ekonomi domestik berdaya tahan, pengguna Malaysia, terutamanya segmen M40 dan B40, mengalami kos sara hidup yang lebih tinggi dan pendapatan boleh guna lebih ketat.
“Kami bimbang ini boleh menjejaskan kecenderungan mereka untuk membeli barangan mahal seperti kereta dan perabot terpakai atau menjejaskan keupayaan mereka untuk membayar balik pinjaman,” jelasnya sambil menambah, nisbah pinjaman terjejas telah menurun daripada kemuncaknya semasa tempoh pandemik.
Melangkah ke hadapan, Teoh berkata ELK-Desa akan kekal memberi tumpuan untuk mengurangkan lagi nisbah pinjaman sepanjang proses pemulihan kredit, di samping berusaha mengembangkan hutang sewa beli bagi melindungi kualiti aset. - DagangNews.com



