hamden25/02/2026 - 15:36 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Feb - Keuntungan bersih Eversendai Corporation Bhd melonjak kepada RM110.41 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025) berbanding RM13.40 juta pada FY2024.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, hasil bagi FY2025 meningkat sebanyak 71.1 peratus atau RM887.1 juta kepada RM2.14 bilion berbanding RM1.25 bilion sebelum ini, terutamanya disebabkan semua projek yang sedang dilaksanakan berjalan mengikut jadual, usaha berterusan mengurangkan perbelanjaan operasi, serta penurunan kos kewangan dan keuntungan pertukaran asing (forex).
“Kedua-dua segmen Timur Tengah terus menyumbang bahagian terbesar kepada hasil pada suku semasa, berjumlah RM456.6 juta atau 74.2 peratus, diikuti India sebanyak RM104 juta atau 16.9 peratus dan Asia Tenggara sebanyak RM55.0 juta atau 8.9 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil kumpulan,” katanya.
Bagi suku keempat (4Q) FY2025, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM59.52 juta berbanding RM8.29 juta pada 4Q FY2024.
Hasil bagi 4Q FY2025 turut meningkat kepada RM615.55 juta berbanding RM337.56 juta sebelum ini, didorong pengurangan perbelanjaan operasi, kos kewangan dan keuntungan pertukaran asing dalam tempoh berkenaan.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata ia kekal positif dan optimistik terhadap masa depannya untuk mencapai prestasi kewangan yang lebih baik secara berperingkat.
“Pengurusan kekal memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan pelaksanaan projek yang berdisiplin bagi memastikan hasil diterjemahkan kepada keuntungan yang mampan.
“Eversendai terus melakukan penambahbaikan melalui penyusunan semula sumber dengan fokus kukuh terhadap pengoptimuman kos dan peningkatan kecekapan operasi,” katanya. - DagangNews.com
