Untung bersih Focus Point dibimbangi susut pada FY25 disebabkan perluasan SST - TA Securities

21/07/2025 - 14:53
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 21 Julai — Perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sejak 1 Julai 2025 dibimbangi boleh menyusutkan keuntungan bersih Focus Point pada FY25, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pelaksanaan cukai berkenaan diramal mengakibatkan kos operasi sewa kedainya setiap tahun turut meningkat sebanyak 4.2 peratus daripada unjuran keuntungannya.
Ia katanya, selari dengan kajian Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) yang menjangkakan SST kira-kira lapan peratus ke atas penyewaan komersial akan menambah perbelanjaan operasi syarikat.
"Berdasarkan anggaran kami, Focus Point membayar sewa RM35 hingga RM40 juta setiap tahun dan cukai ini meningkatkan kos sehingga RM1.6 juta pada FY25," kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Situasi berkenaan tambah firma itu, kemungkinan besar seterusnya memberi kesan kepada pengguna akhir rantaian runcit melalui inflasi yang lebih tinggi dan melemahkan tahap keyakinan pengguna.
Bagaimanapun, ia menjangkakan kos elektrik kumpulan tersebut hanya meningkat sedikit disebabkan pelarasan tarif yang diluluskan Suruhanjaya Tenaga di Semenanjung Malaysia mulai 1 Julai 2025.
Kesannya pula kata TA Securities, dijangka tidak begitu ketara, kerana bil bulanan daripada bekalan elektrik itu menyumbang sedikit, iaitu cuma kurang tiga peratus daripada jumlah kos kumpulan.
"Secara keseluruhannya, kami percaya impak SST masih boleh diurus Focus Point, disokong oleh permintaan yang berdaya tahan untuk perkhidmatan penjagaan penglihatan mata," kata firma tersebut.
Selain itu, gabungan dengan kuasa tawar-menawar kukuh syarikat dengan pembekal dan kadar nilai ringgit yang lebih kukuh, diyakini membolehkan margin keuntungan kasar akan kekal berdaya tahan.
Segmen produk optiknya kara TA Securities, dijangka stabil setelah berjaya menyumbang 83.7 peratus daripada jualan pada tempoh suku pertama 2025, iaitu meningkat 7.4 peratus kepada RM61.1 juta.
Keadaan ini tambahnya, membolehkan Focus Point mampu membuka lima cawangan pada separuh pertama 2025 serta menambah baik enam cawangan dan membuka dua lagi pada suku ketiga tahun ini.
Berdasarkan perkembangan positif berkenaan, firma tersebut masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM1.09 sesaham. - DagangNews.com
standard

