Untung bersih Gamuda meningkat 4.5% kepada RM258 juta pada 3QFY26, buku tempahan melonjak ke paras rekod RM52 bilion

LocalBusiness & Finance
25 Jun 2026 • 6:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Gamuda meningkat 4.5% kepada RM258 juta pada 3QFY26, buku tempahan melonjak ke paras rekod RM52 bilion Image from: Untung bersih Gamuda meningkat 4.5% kepada RM258 juta pada 3QFY26, buku tempahan melonjak ke paras rekod RM52 bilion hamden25/06/2026 - 18:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Jun - Keuntungan bersih Gamuda Bhd meningkat 4.5% kepada RM258 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 (3QFY2026) berbanding RM246.8 juta setahun lalu, didorong oleh sumbangan kukuh daripada projek pembinaan domestik.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hasil bagi suku tersebut melonjak 43.5% kepada RM4.43 bilion berbanding RM3.09 bilion setahun lalu, manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 4.34 sen daripada 4.30 sen sebelumnya.

 

Kumpulan kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur itu turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 5 sen sesaham biasa, menjadikan jumlah pembayaran dividen setakat tahun ini kepada 10 sen sesaham.

 

Bagi tempoh sembilan bulan, Gamuda merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM702.6 juta, meningkat 4.7% berbanding RM671 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Hasil bagi tempoh tersebut turut berkembang 13% kepada RM12.58 bilion daripada RM11 bilion.

 

Gamuda berkata, hasil dan keuntungan segmen pembinaannya bagi tempoh tersebut masing-masing meningkat 15% dan 7%, didorong oleh kemajuan kukuh projek-projek domestik.

 

“Buku tempahan pembinaan kumpulan mencapai paras rekod baharu sebanyak RM52 bilion susulan kejayaan memperoleh projek baharu bernilai RM11.7 bilion pada suku ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Jumlah perolehan projek baharu Gamuda setakat tahun ini kini mencecah RM25.1 bilion, merangkumi projek skim bekalan air, pusat data hiperskala di Malaysia, ladang solar di Australia serta projek sistem Transit Aliran Massa (MRT) di Taiwan.

 

Nisbah gearan kumpulan meningkat sementara kepada 73% berikutan pemerolehan strategik bank tanah bagi memperkukuh portfolio projek pusingan pantas (QTP) di Vietnam dan Singapura, selain perbelanjaan pembangunan projek-projek sedia ada.

 

Bagaimanapun, Gamuda menjangkakan tahap gearan itu akan berkurangan mulai tahun hadapan apabila kumpulan mula menjana hasil dan aliran tunai daripada buku pesanan pembinaan bernilai RM52 bilion serta jualan hartanah belum dibilkan sebanyak RM7.4 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved