Untung bersih Globaltec Formation menjunam 67% kepada RM1.7 juta dalam 3QFY23

Business & Finance
25 May 2023 • 5:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Globaltec Formation menjunam 67% kepada RM1.7 juta dalam 3QFY23

diyana

25/05/2023 - 17:47

KUALA LUMPUR 25 Mei - Keuntungan bersih Globaltec Formation Berhad menjunam 67% kepada RM1.7 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) daripada RM5.2 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Untung bersih kumpulan merosot diheret oleh kedua-dua segmen perkhidmatan pembuatan bersepadu (IMS) dan sumber.

Menurut kumpulan itu keuntungan bersih segmen IMS menurun sebanyak RM2.1 juta, diheret oleh bahagian Precision Machining Stamping and Tooling, berikutan kos bahan dan kos buruh meningkat ditambah dengan perbelanjaan cukai yang lebih rendah pada suku pertama tahun sebelumnya.

Sementara itu, segmen sumber mencatatkan kerugian bersih RM500,000 berbanding untung bersih RM500,000 ribu pada suku pertama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatan syarikat meningkat lebih 11% kepada RM52.9 juta berbanding RM47.6 juta sebelumnya.

Menurut kumpulan itu, peningkatan pendapatan bagi suku tersebut telah didorong oleh peningkatan segmen IMS sebanyak 14% kepada RM50.9 juta daripada RM44.6 juta.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Goh Tian Chuan berkata persekitaran semasa adalah mencabar, membuatkan kumpulan itu lebih berwaspada untuk mengharunginya.

image is not available
Tan Sri Goh Tian Chuan

“Kumpulan telah gigih menceburkan diri dalam perniagaan tenaga bersih dan ia selangkah lebih dekat dengan pengkomersilan coal bed methane (CBM) pertama di Indonesia.

“Kami akan melaksanakan rancangan pembangunan pertama dengan berhati-hati dan secara berperingkat dengan objektif untuk menyampaikan jualan gas awal,” tambahnya.

Kumpulan itu berkata pelaksanaan pelan pembangunan kontrak perkongsian pengeluaran CBM Tanjung Enim yang pertama sedang berjalan secara berperingkat dengan objektif untuk mencapai jualan gas awal dengan menyasarkan pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan di Sumatera Selatan Indonesia yang akan membantu industri di sekitar beralih kepada tenaga hijau.

Beliau turut memaklumkan kejayaan syarikat sekutu baharu diperoleh yang mengendali restoran Chef Wan, telah menambah cawangan daripada empat kepada sembilan dalam tempoh kurang daripada setengah tahun. -DagangNews.com