Untung bersih IJM merosot 30% kepada RM128.95 juta pada 4QFY25

LocalBusiness & Finance
30 May 2025 • 9:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih IJM merosot 30% kepada RM128.95 juta pada 4QFY25

image is not available

30/05/2025 - 09:57

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 Mei - IJM Corporation Bhd mencatatkan penurunan hampir 30% dalam untung bersih suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 kepada RM128.95 juta, akibat kerugian jangkaan kredit RM54 juta melibatkan projek Lebuh Raya Pantai Barat (WCE).

IJM berkata, keuntungan yang dicatatkan pada tahun lalu termasuk pendapatan tambahan yang hanya berlaku sekali, iaitu sebanyak RM67 juta daripada waran WCE Holdings Bhd.

"Tanpa kerugian sekali ini, keuntungan sebelum cukai sebenarnya meningkat 40.8% kepada RM311.4 juta," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Jelasnya, pendapatan bagi suku tersebut pula meningkat sedikit kepada RM1.8 bilion.

Dalam tempoh itu, IJM memaklumkan hasil daripada bahagian pembinaan meningkat 60.4% kerana lebih banyak projek dijalankan dan tempahan kerja bertambah.

Tambahnya, bahagian industri juga mencatatkan prestasi baik dengan banyak tempahan dan kerja yang sedang berjalan untuk projek pusat data dan infrastruktur.

Namun katanya, bahagian tol terjejas akibat kerugian RM54 juta, manakala perniagaan pelabuhan mencatatkan pengurangan dalam jumlah kargo.

Syarikat turut mengumumkan dividen interim sebanyak lima sen dan dividen khas satu sen, menjadikan jumlah keseluruhan dividen tahunan kepada lapan sen sesaham.

Bagi tahun penuh berakhir 31 Mac 2025, untung bersih IJM susut 32% kepada RM403.4 juta, berbanding RM600.3 juta tahun sebelumnya.

Pendapatan pula meningkat kepada RM6.3 bilion berbanding RM5.9 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Lee Chun Fai berkata, FY25 adalah tahun pertumbuhan syarikat walaupun berdepan cabaran ekonomi.

"Pertumbuhan syarikat pada tahun ini didorong oleh peningkatan dalam sektor pembinaan, permintaan yang stabil dalam industri serta kejayaan mendapat projek baharu dalam pusat data, logistik dan kerjasama di United Kingdom (UK)," jelasnya.

Buat masa ini, nilai buku pesanan IJM mencecah RM7.6 bilion, ditambah RM3.5 bilion daripada kerjasama baharu di UK, sekali gus mengukuhkan kehadiran dan kekuatan syarikat di pasaran pembinaan.

IJM menjangkakan pertumbuhan dalam sektor pembinaan dan industri akan berterusan bagi FY26, dengan tumpuan untuk menyiapkan projek bernilai RM7.6 bilion dan memperluas projek pusat data.

Segmen hartanah dan tol dijangka terus menyumbang pendapatan stabil, manakala pelabuhan berdepan cabaran akibat isu perdagangan global.

Syarikat kekal yakin dengan prospek masa depan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. - DagangNews.com

standard