amree13/01/2026 - 13:00 Oleh Amree Ahmad amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Jan — ISF Group Berhad diramal berpotensi mencatat pertumbuhan pesat dengan keuntungan bersih selama tiga tahun akan datang kira-kira 49.7%, menurut Malacca Securities.
Firma itu berkata, keyakinan tersebut disokong lonjakan projek pusat data (DC), dengan kedudukan strategik syarikat di Johor meraih banyak kontrak daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Penyedia perkhidmatan rumusan paip air bersepadu di Malaysia itu jelasnya, dijangka memiliki prospek yang baik selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Januari 2026.
"Kami menilai ISF pada nilai wajar 46 sen sesaham, menawarkan peluang kenaikan 39.4% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 33 sen," kata Malacca Securities dalam nota penyelidikannya hari ini.
Menurutnya, kumpulan itu menunjukkan peningkatan konsisten, dengan margin kasar naik berbanding 27.3% (FY22) kepada 44.2% (FY25), manakala margin bersih bertambah daripada 4.3% kepada 25.5%.
Situasi positif berkenaan jelas firma itu, terutamanya hasil daripada segmen hartanah industri dan DC yang menyumbang kira-kira 74.4% daripada jumlah pendapatan keseluruhan kumpulan pada FY25.
ISF juga tambah Malacca Securities, dinilai memanfaatkan pertumbuhan pesat sektor DC khususnya di JS-SEZ, dengan hasil segmen ini melonjak daripada RM1.0 juta (FY22) kepada RM28.2 juta (FY25).
"Ini sejajar jangkaan industri DC Malaysia pada kadar pertumbuhan purata terkumpul (CAGR) 22.4% sehingga 2030, didorong faktor permintaan air yang tinggi untuk penyejukan DC," ujarnya lagi.
Justeru, ISF dijangka terus menikmati aliran pendapatan kukuh dan keterlihatan keuntungan yang jelas, dengan kedudukan strategik di Johor membolehkan ia memanfaatkan projek JS-SEZ sendiri.
Katanya, dengan 68% daripada pendapatan FY25 berasal dari Johor, lonjakan pelaburan DC oleh gergasi global amat baik, dengan syarikat merancang pembinaan pejabat dan fasiliti stor di negeri itu.
Hartanah itu kata Malacca Securities, bernilai RM10.25 juta, dijangka siap pada 3Q28, dengan dana daripada IPO yang sudah ditawarkan kepada pelabur melibatkan sejumlah 185.3 juta saham baharu.
"Sejak penubuhan, ISF berkembang daripada perniagaan perdagangan bahan paip kepada penyediaan sistem paip bersepadu dan penyelenggaraan, membolehkan margin lebih tinggi," kata firma tersebut.
Bagi FY25, kumpulan berkenaan jelas firma itu mencatat pendapatan RM59.5 juta, naik 99% tahun ke tahun (YoY) dan keuntungan bersih RM15.2 juta, meningkat 154.3% YoY, dipacu oleh segmen DC,
Malacca Securities turut menekankan risiko pertumbuhan syarikat tersebut yang dilihat masih bergantung kepada penggantian tempahan, pelaksanaan projek tanpa kelewatan, serta kawalan kos.
Secara keseluruhan, ISF dinilai bersedia meraih peluang pertumbuhan berterusan dalam sektor DC dan infrastruktur paip di Malaysia, menjadikan prospek keuntungan yang menarik.- DagangNews.com
