Untung bersih Kelington naik 23.3% kepada RM32.9 juta pada 2QFY25 didorong margin lebih tinggi

21/08/2025 - 18:20
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Untung bersih Kelington Group Berhad pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) melonjak 23.3% kepada RM32.9 juta berbanding RM26.7 juta pada tahun sebelumnya didorong campuran projek yang lebih baik dengan margin keuntungan yang lebih tinggi.
Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan bagaimanapun susut kepada RM282 juta berbanding RM321.2 juta pada 2QFY24 disebabkan perbezaan masa dalam pengiktirafan hasil bagi projek kejuruteraan di Malaysia dan China.
Bagaimanapun, ia diimbangi sumbangan yang lebih tinggi dari Singapura tetapi segmen gas industri mencatatkan prestasi yang lebih lemah.
"Walaupun hasil menurun, perniagaan teras kumpulan kekal berdaya tahan, disokong pengembangan baru-baru ini, selain pelaburan berterusan dalam industri semikonduktor global, serta tumpuan berterusan dalam mendapatkan projek-projek dengan margin keuntungan yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi 1HFY25, kumpulan mencatatkan untung bersih RM59.5 juta dengan hasil sebanyak RM552.3 juta dengan segmen kejuruteraan lanjutan kekal sebagai penyumbang hasil terbesar sebanyak RM384.5 juta dan merangkumi 69.6% daripada hasil keseluruhan.
Ia kemudian diikuti segmen kontrak am, gas industri dan kejuruteraan proses yang masing-masing menyumbang RM78.9 juta (14.3%), RM62.6 juta (11.3%) dan RM25.8 juta (4.7%).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Raymond Gan berkata, strategi pengembangan kumpulan mula membuahkan hasil, khususnya dengan kemasukan mereka ke pasaran Jerman semakin mendapat momentum, di mana kumpulan telah memperoleh Surat Niat bagi satu projek pemasangan semikonduktor di Jerman yang dianggarkan bernilai antara 30 juta euro hingga 50 juta euro (kira-kira RM146 juta hingga RM244.0 juta).
"Ia hadir dengan kejayaan memperoleh kontrak bernilai RM549 juta pada 1HFY25, perkembangan ini mengukuhkan buku tempahan kami dan menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan akan datang," katanya.
Kumpulan juga sedang meneroka peluang di Jepun, setelah menubuhkan anak syarikat pertamanya, Kelington Engineering (Japan) K.K., pada Jun 2025 bagi membina kehadiran langsung dan meneroka potensi pertumbuhan di pasaran tersebut.
“Bagi segmen Gas Industri , kami sedang memperluaskan penawaran produk rumusan pgas di tapak, serta meneroka peluang dalam hidrogen hijau dengan kerjasama pihak berkuasa negeri.
"Pada masa yang sama, kami juga sedang giat meneroka peluang dalam bidang penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) bagi mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang," katanya. - DagangNews.com
standard
