Untung bersih Kenanga IB susut 57.2% pada suku pertama kepada RM9.77 juta

03/06/2025 - 09:24
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 3 Jun – Untung bersih Kenaga Investment Bank Berhad susut 57.2% kepada RM9.77 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), berbanding RM22.83 juta pada suku sama tahun lalu disebabkan penyusutan ketara dalam bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu.
Itu berlaku meskipun hasil meningkat 2.6% tahun ke tahun kepada RM209.61 juta, didorong oleh pendapatan faedah yang lebih tinggi.
Sepanjang tempoh itu, Kenanga melupuskan keseluruhan pegangan 45% dalam Kenanga Investment Corp Ltd pada harga RM517,000, mengakibatkan kerugian bersih RM99,000.
Bahagian perbankan pelaburan mencatatkan semula keuntungan kasar RM4.15 juta, berbanding kerugian RM2.11 juta tahun lalu, disokong oleh peningkatan hasil dagangan dan pelaburan.
Namun, unit urus niaga saham mencatatkan kerugian kasar lebih besar sebanyak RM4.64 juta disebabkan aktiviti pasaran yang suram, manakala segmen pengurusan aset dan kekayaan menyusut 23.6% kepada keuntungan kasar RM5.8 juta berikutan kos overhed yang lebih tinggi.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chay Wai Leong berkata, Kenanga kekal fokus mengukuhkan pendapatan berulang, meningkatkan kecekapan kos, dan memanfaatkan inovasi digital bagi menghadapi cabaran global serta merebut peluang yang muncul.- DagangNews.com
standard

