amree29/05/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Mei — Perak Corporation Berhad mencatatkan peningkatan 175% keuntungan bersih kepada RM10 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding hanya RM3.6 juta sebelumnya.
Menurutnya, peningkatan ketara prestasi kewangan yang cukup kukuh ini didorong terutamanya oleh faktor keuntungan daripada aktiviti penjanaan nilai tanah di bawah segmen pembangunan hartanah.
Selain itu maklumnya kepada Bursa Malaysia, pembalikan kerugian kemerosotan nilai berjumlah RM5.1 juta ke atas hartanah, loji dan peralatan (PPE) serta aset hak guna (ROU) turut membantu kumpulan.
"Pembalikan ini dibuat susulan penilaian semula pengarah terhadap asas penyediaan penyata kewangan Perak Corp berikutan kemajuan positif dalam Pelan Pengawalseliaan syarikat," jelas kumpulan itu.
Di samping itu, pendapatan meningkat 64% kepada RM61.1 juta berbanding RM37.3 juta pada 1QFY25, manakala keuntungan operasi pula didapati melonjak kira-kira 111% kepada sebanyak RM15.4 juta.
Keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat katanya, naik mendadak 5,095% kepada RM6.86 juta berbanding hanya RM132,000 pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya itu.
Segmen pelabuhan dan logistik kata Perak Corp, kekal sebagai penyumbang utama hasil dengan RM36.2 juta, didorong oleh jumlah kendalian kargo yang lebih tinggi di Terminal Maritim Lumut (LMT).
"Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen ini didapati adalah sedikit susut kepada sebanyak RM8.7 juta disebabkan isu peningkatan kos penyelenggaraan dan kakitangan," tambahnya.
Segmen pembangunan hartanah pula mencatatkan pendapatan RM18.9 juta daripada inisiatif penjanaan nilai tanah di bawah Pelan Pengawalseliaan, dengan PBT yang mencecah sebanyak RM7.2 juta.
Sementara segmen hospitaliti dan pelancongan meraih PBT RM4.9 juta berbanding RM1.6 juta pada 1QFY25, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pembalikan kerugian kemerosotan nilai aset.
Perak Corp memaklumkan yang Bursa Malaysia meluluskan Pelan Pengawalseliaan pada 19 Januari 2026, dan turut diluluskan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 27 Februari 2026.
"Pelan ini meliputi pengurangan modal saham, pembangunan usaha sama (JV) Silver Valley Technology Park (SVTP), dan pelbagai pelupusan tanah untuk mengukuhkan kedudukan tunai syarikat," jelasnya.
Justeru, syarikat kini dalam fasa pelaksanaan pelan tersebut, termasuk Saham Keutamaan Boleh Tebus (RPS) menggunakan hasil penjanaan nilai tanah bagi mengurangkan beban pembiayaan legasi.
Menyentuh prospek masa depan, Perak Corp menyatakan keyakinan, terutama perkembangan projek strategik seperti LMT2 dan SVTP yang dijangka memperkukuh operasi jangka panjang. - DagangNews.com






