Untung bersih Petronas Chemicals turun 4 kali ganda kepada RM439 juta pada 3QFY23

Business & Finance
28 Nov 2023 • 2:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Petronas Chemicals turun 4 kali ganda kepada RM439 juta pada 3QFY23

diyana

28/11/2023 - 14:34

KUALA LUMPUR 28 Nov - Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatat keuntungan bersih empat kali ganda lebih rendah sebanyak RM439 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), berbanding RM1.9 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan menyusut 3.5% kepada RM6.78 bilion daripada RM7.03 bilion berikutan penurunan jumlah jualan di samping permintaan yang lebih rendah secara berterusan disebabkan kemerosotan sektor pembuatan global.

Dalam satu kenyataan media hari ini, PCG berkata segmen bahan kimia khusus yang menyumbang 22% kepada pendapatannya telah mengalami isu pengurangan stok berterusan seiring dengan persaingan sengit, khususnya di Eropah.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), keuntungan bersih PCG merosot 72.9% kepada RM1.58 bilion daripada RM5.84 bilion pada tempoh yang sama pada 2022, sementara pendapatannya meningkat 6% kepada RM21.5 bilion dalam tempoh berkenaan berbanding RM20.2 bilion tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata segmen bahan kimia khusus terus mengalami tekanan akibat ketidaktentuan makroekonomi yang berterusan, di samping pemulihan beransur dalam sektor automotif dan pengangkutan lantaran peningkatan semula industri pelancongan.

Menurut beliau, peningkatan sementara dalam harga produk kimia tertentu telah kembali mendatar menjelang akhir tahun.

image is not available
Mohd Yusri Mohamed Yusof

“Keperlahanan bermusim dijangka untuk segmen olefin dan derivatif selaras dengan kebanyakan pembeli menunaikan kontrak berpenggal masing-masing.

“Segmen baja berpotensi mendapat sokongan daripada penghantaran tender urea India yang dijangkakan pada Disember, sempena musim tanaman iklim sejuk di Asia Selatan,” ujar beliau.

Kadar penggunaan kilang PCG pada 3QFY23 adalah pada 77% berbanding 82% bagi suku sebelumnya disebabkan oleh penutupan kilang yang tidak dirancang serta kerja-kerja pemulihan dan penyelenggaraan kilang berkala.

“Pada 3QFY23, kumpulan telah menjalankan pemulihan loji berkala di kilang ammonia kami di Kerteh dan penutupan berkala di kilang baja di Bintulu.

“Selain itu, kami mengalami penutupan yang tidak dirancang di kilang metanol di Labuan serta loji-kilang methyl tert-butyl ether (MTBE) dan propane dehydrogenation (PDH) di Gebeng,” kata Mohd Yursi.

Berikutan penyelesaian aktiviti-aktiviti terbabit, beliau berkata kumpulan itu kini beroperasi pada kadar biasa dengan penggunaan melebihi 85%.

Bagi bahagian pasaran, beliau berkata peningkataan permintaan yang beransur pulih dapat dilihat dalam beberapa segmen bahan kimia, tetapi margin keseluruhan masih rendah. - DagangNews.com