Untung bersih RHB Bank pada 1QFY23 capai unjuran tahun penuh Kenanga Research
azan
29/05/2023 - 09:59
KUALA LUMPUR 29 Mei - Keuntungan bersih RHB Bank Berhad sebanyak RM762.2 juta pada 1QFY23 berjaya mencapai unjuran Kenanga Research dan ia membentuk membentuk 24% daripada unjuran tahun penuh serta anggaran tahun penuh konsensus.
Firma itu berkata, walaupun pertumbuhan 6% dalam pinjaman kasar diterajui oleh gadai janji yang lebih tinggi, margin faedah bersih (NIM) terhakis sebanyak 19 mata asas apabila kos dana meningkat hasil daripada empat kenaikan 25 mata asas kadar dasar semalaman (OPR) pada 2022.
Katanya, pendapatan bukan faedah melonjak 33% kerana pendapatan perbendaharaan menikmati keuntungan nilai saksama daripada kerugian pada tahun-tahun sebelumnya, mengimbangi penurunan dalam pendapatan berasaskan fi.
"Nisbah kos-pendapatan kekal stabil pada 44.9% apabila perbelanjaan mengurus berkembang sejajar dengan jumlah pendapatan.
"Ketiadaan Cukai Makmur membolehkan kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih yang positif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih bank itu meningkat 17.6% berbanding RM582.33 juta pada suku yang sama pada 2022.
Ia disebabkan oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi dan jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah.
Perolehan kumpulan perbankan itu juga melonjak 39.5% kepada RM3.92 bilion daripada RM2.81 bilion pada suku perbandingan.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM7.10 sesaham.
Bank itu bagaimanapun berdepan beberapa cabaran termasuk tekanan margin keuntungan yang lebih tinggi daripada jangkaan selain pertumbuhan pinjaman lebih rendah daripada jangkaan.
"Selain itu mereka juga bakal berdepan kemerosotan kualiti aset yang lebih teruk daripada jangkaan serta kelembapan dalam aktiviti pasaran modal.
"Ketidakstabilan tukaran matawang dan perubahan kadar OPR juga akan memberi kesan," katanya. - DagangNews.com

