Untung bersih Scientex Packaging pada 3QFY23 susut kepada RM10.1 juta akibat pendapatan merosot, kos tenaga naik

Business & Finance
19 Jun 2023 • 2:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Scientex Packaging pada 3QFY23 susut kepada RM10.1 juta akibat pendapatan merosot, kos tenaga naik

diyana

19/06/2023 - 14:58

KUALA LUMPUR 19 Jun - Scientex Packaging (Ayer Keroh) Berhad, sebelum ini dikenali sebagai Daibochi Berhad, telah mencatat keuntungan bersih sebanyak RM10.1 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (3QFY23), susut 1.64% daripada RM10.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Keuntungan bersih syarikat pengilang pembungkusan plastik itu susut akibat kemerosotan pendapatan dan peningkatan kos tenaga.

Pendapatannya dalam suku berakhir 30 April 2023 itu merosot 14.4% kepada RM177.4 juta berbanding rekod RM207.4 juta setahun lalu, disebabkan permintaan produk berkurangan dalam pasaran domestik dan eksport.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata pasaran domestik menyumbang RM96.4 juta atau 54.3% daripada pendapatannya dalam 3QFY23 manakala eksport menyumbang baki RM81 juta atau 45.7%.

Di samping itu, Scientex Packaging mengisytiharkan dividen interim sebanyak 2.5 sen sesaham yang akan dibayar pada 17 Julai.

Bagi tempoh sembilan bulan (9MFY2023) pula, keuntungan bersih kumpulan meningkat 12.6% kepada RM35.8 juta daripada RM31.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala pendapatan meningkat sedikit 1.2% kepada RM589.5 juta, berbanding RM582.2 juta sebelumnya.

Menurut kumpulan itu, jualan domestik menyumbang RM308.2 juta atau 52.3% daripada pendapatannya bagi 9MFY23 manakala eksport menyumbang baki RM281.3 juta atau 47.7%.

Mengulas tentang prospek tahun kewangan semasa, Scientex Packaging berkata ia terus melabur bagi pertumbuhan jangka panjang dan inovasi untuk membangunkan produk yang mengutamakan pelanggan walaupun persekitaran operasi luaran yang mencabar.

"Pelan pengembangan kapasiti kami bagi mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran kekal di landasan yang betul, meletakkan kami pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan," kata kumpulan itu.

Tambahnya, keadaan sosioekonomi di Myanmar terus menimbulkan cabaran operasi dalam jangka pendek dan sederhana, namun ia akan terus menguruskan operasinya di negara itu untuk meminimumkan kesan buruk di samping meneroka pilihan berkaitan.

Saham Scientex Packaging terakhir didagangkan pada RM2.24, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM786.6 juta. -DagangNews.com