Untung Hartalega melonjak 38 peratus, cecah RM102 juta

Business & Finance
3 Sep 2026 • 6:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Untung Hartalega melonjak 38 peratus, cecah RM102 juta
Mun Leong (kanan) pada taklimat keputusan kewangan Hartalega di Pusat Konvensyen KLGCC.

PENERAJU global pengeluaran sarung tangan nitril, Hartalega Holdings Berhad (Hartalega), mencatatkan prestasi lebih kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 apabila untung selepas cukai (PAT) meningkat 38 peratus kepada RM102 juta berbanding RM74 juta pada tahun sebelumnya.

Peningkatan keuntungan itu didorong penggunaan kilang yang lebih tinggi, peningkatan kecekapan menerusi automasi serta pengurusan kos yang lebih berdisiplin, meskipun industri sarung tangan terus berdepan pelbagai cabaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Holdings Berhad, Kuan Mun Leong berkata, momentum positif itu diteruskan pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 apabila kumpulan merekodkan untung sebelum cukai sebanyak RM70 juta berbanding RM12 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM606 juta.

Menurutnya, prestasi berkenaan dipacu oleh harga jualan purata lebih tinggi dan usaha mengoptimumkan kos secara berterusan, sekali gus membantu menangani kesan jumlah jualan yang lebih rendah dan tekanan harga yang berlarutan.

"Walaupun persekitaran operasi kekal mencabar, terdapat tanda-tanda menggalakkan keadaan bertambah baik secara beransur-ansur sambil inventori pelanggan kembali normal dan permintaan pulih.

"Kekuatan asas jangka panjang industri disokong oleh keperluan penjagaan kesihatan yang terus meningkat dan kesedaran yang lebih tinggi tentang kebersihan di peringkat global," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, Mun Leong berkata perkembangan geopolitik, perubahan dasar perdagangan, lebihan kapasiti dan persaingan sengit terus mempengaruhi proses pemulihan industri.

"Walaupun perkembangan tersebut mungkin menimbulkan peluang bagi para pengeluar Malaysia, kami juga prihatin tentang ketidakstabilan berterusan dalam kos bahan mentah dan logistik.

"Bagi Hartalega, kami memberi tumpuan untuk mengukuhkan daya saing dan terus meningkatkan kecekapan menerusi automasi dan teknologi, sambil mengukuhkan kedudukan pasaran kami," katanya.

Beliau berkata, dengan kekuatan sedia ada serta rekod pencapaian hampir 40 tahun dalam industri, Hartalega yakin mampu mengharungi perubahan pasaran dan memanfaatkan peluang yang muncul.

Kumpulan itu mengeluarkan sarung tangan getah premium sejak 1988 dan kini mengendalikan kemudahan pengeluaran berteknologi tinggi di Sepang, Selangor.

Setakat tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2026, Hartalega mempunyai kapasiti pengeluaran tersedia sekitar 37 bilion keping sarung tangan setahun di kemudahan Next Generation Complex (NGC), Sepang.

Hartalega kini antara pengeluar sarung tangan nitril terkemuka dunia dengan pasaran eksport meliputi lebih 70 negara di lima benua, termasuk Amerika, Asia, Eropah, Australia dan Afrika.

Syarikat itu disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada April 2008.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved