Untung Wasco jatuh 53% bagi 1QFY26 bersifat sementara, penganalisis unjur pulih semula pada 2HFY26

Business & Finance
20 May 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung Wasco jatuh 53% bagi 1QFY26 bersifat sementara, penganalisis unjur pulih semula pada 2HFY26 Image from: Untung Wasco jatuh 53% bagi 1QFY26 bersifat sementara, penganalisis unjur pulih semula pada 2HFY26 amree20/05/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Mei – Ketegangan di Timur Tengah sudah memberi kesan langsung kepada prestasi Wasco Berhad apabila gangguan rantaian bekalan menyebabkan keuntungan merosot 53% bagi 1QFY26.


Penganalisis namun melihat tekanan semasa lebih bersifat sementara dengan potensi pemulihan kukuh dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini disokong peningkatan buku tender, dan projek baharu.


RHB Research masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas sahamnya dengan harga sasaran (TP) RM1.37 sesaham, manakala CGS International (CGSI) turut tidak mengubah syor 'tambah' dengan TP RM1.75.


"Wasco hanya mencatat keuntungan bersih teras RM13.6 juta bagi 1QFY26, susut lebih 53% tahun ke tahun (YoY) berikutan kelemahan segmen perkhidmatan dan tenaga boleh diperbaharui (RE)," jelas mereka.


Sementara itu menurut RHB Research dalam analisisnya, hasil Wasco susut 23.8% suku ke suku (QoQ) kepada RM451.2 juta disebabkan sumbangan berkurangan daripada segmen perkhidmatan tenaga dan RE.


Firma itu berkata, prestasi lebih lemah sektor tenaga berpunca daripada penangguhan pelaksanaan projek yang sudah dianugerahkan susulan gangguan rantaian bekalan berkaitan konflik Timur Tengah.


Selain itu ujarnya, segmen RE yang dicatatkan kumpulan berkenaan turut terjejas teruk akibat isu pengurangan penghantaran sistem penjanaan turbin stim dan aktiviti selepas jualan yang perlahan.


“Walaupun prestasi suku itu di bawah jangkaan, kami masih yakin terhadap Wasco kerana kelemahan semasa lebih berkaitan pelaksanaan projek dan bukan kemerosotan perniagaan,” kata RHB Research.


Tambah firma penyelidikan berkenaan, buku tempahan semasa kumpulan tersebut berjumlah RM2.6 bilion dengan komposisi kira-kira 47% daripada projek saluran paip, 43% kejuruteraan dan 10% bioenergi.


Sehubungan itu, ia menjangkakan aktiviti salutan paip dikendalikan syarikat berkenaan akan kembali rancak hanya pada separuh kedua FY26 apabila beberapa projek tertangguh mula disambung semula.


Menurut RHB Research, Wasco juga berpotensi untuk memperoleh lagi tambahan pakej modul yang berkaitan dengan kontrak Kikeh FPSO, serta dijangka dianugerahkan menjelang suku kedua FY26.


"Bagaimanapun, kami menurunkan unjuran pendapatan kumpulan ini pada FY26 sebanyak 21% susulan kelewatan beberapa projek dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa secara berterusan," katanya.

 

Wasco_DagangNews



Sementara itu, CGSI mendedahkan ada fasiliti syarikat itu di Qatar dan Dubai yang terpaksa ditutup atas arahan kerajaan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga susulan isu konflik Timur Tengah.


Menurut firma itu, operasi hanya kembali disambung pada awal April 2026, namun hasil dan keuntungan Wasco merosot ketara akibat kelewatan pelaksanaan projek serta gangguan logistik dan bekalan.


Ia namun mengekalkan unjuran kewangan kerana menjangka pemulihan ketara prestasi pada 2HFY26 disokong pelaksanaan projek dan peningkatan sumbangan syarikat bersekutu selepas beroperasi.


“Pengurusan Wasco memaklumkan yang tiada penalti dijangka dikenakan terhadap kelewatan projek kerana penangguhan itu turut dipersetujui bersama pelanggan susulan keadaan luar jangka,” kata CGSI.


Selain itu jelasnya, syarikat tersebut sedang menilai pemindahan sebahagian kerja ke fasiliti lain di Kuantan, Pahang; Batam, Indonesia dan Britain yang bergantung kepada destinasi penghantaran akhir projek.


Firma itu menambah, prospek kontrak baharu semakin positif apabila buku tender meningkat kepada RM14 bilion setakat 1QFY26 berbanding sekitar RM12 bilion hingga RM13 bilion pada suku sebelumnya.


Jelas CGSI lagi, tema pertumbuhan jangka panjang Wasco kini semakin jelas merangkumi keselamatan tenaga, pembinaan semula Timur Tengah, peralihan tenaga hijau serta pembangunan pusat data (DC).


“Projek berkaitan peralihan tenaga kini membentuk majoriti buku tempahan kumpulan iaitu sekitar 57% pada 1QFY26 berbanding hanya 15% pada 4QFY23,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard