UOA Development ceburi perniagaan F&B dengan kos permulaan RM21.2 juta

Business & Finance
15 Jun 2023 • 10:12 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UOA Development ceburi perniagaan F&B dengan kos permulaan RM21.2 juta

diyana

15/06/2023 - 10:12

KUALA LUMPUR 15 Jun - UOA Development Berhad melalui dua anak syarikatnya telah memeterai perjanjian lembaran terma untuk menceburi perniagaan makanan & minuman (F&B).

Dua unitnya, Armada Hartasegar Sdn Bhd dan Regenta Development Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian tersebut pada 14 Jun dengan Hokkien Peng Restaurant Group Sdn Bhd dan Hoteland Sdn Bhd, kata UOA Development dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Menurut kumpulan itu, kedua-dua unitnya dan Hokkien Peng bersama-sama berhasrat memasuki perniagaan melalui dua anak syarikat Hoteland, iaitu Bamboo Estate Sdn Bhd dan Bamboo Circle Sdn Bhd.

Hokkien Peng merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang terlibat dalam aktiviti perniagaan pegangan pelaburan, manakala dua unit Hoteland iaitu Bamboo Estate dan Bamboo Circle terlibat dalam perniagaan F&B, iaitu Botanica Co Restaurant dan Potager.

“Armada akan menyediakan kos persediaan perniagaan berjumlah RM21.17 juta melalui langganan saham keutamaan boleh tebus baharu (RPS) dalam Hoteland pada harga langganan RM1 setiap RPS,” katanya.

Oleh itu, Hoteland akan menjadi anak syarikat milik UOA Development dengan 51% pegangan saham.

“Tertakluk kepada keuntungan dijana Hoteland, penebusan RPS oleh Hoteland boleh dibuat sebahagian atau keseluruhannya pada setiap tahun selepas terbitan RPS, di mana bahagian penebusan adalah sama dengan harga langganan.

“Harga penebusan adalah sama dengan harga langganan dan jika penebusan RPS dibuat selepas lima tahun daripada terbitan RPS, Hoteland akan membayar sepenuhnya dividen terkumpul sebanyak 8% setahun sehingga tarikh penebusan semua RPS. RPS tidak membawa sebarang hak mengundi,” tambahnya.

Menurut UOA Development, lembaran terma tidak mempunyai kesan serta-merta ke atas pendapatan, aset bersih dan penggearan syarikat dan juga tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan mana-mana pihak berkuasa berkaitan.

Saham UOA Development pada 10:10 am telah naik 1 sen atau 0.6% kepada RM1.61 dengan permodalan pasaran RM3.88 bilion. -DagangNews.com