UOB Malaysia sokong pelancaran Program MTN Hijau ASEAN FMM House bernilai RM3 bilion

21/08/2025 - 17:18
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei (kiri) bersama Pengarah FMM House, Tan Sri Teo Chiang Hong ketika menandatangani pelancaran Program Nota Jangka Sederhana Hijau ASEAN FMM House bernilai RM3. bilion Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Ogos – UOB Malaysia mengukuhkan komitmennya terhadap pembangunan mampan dengan menyokong pelancaran Program Nota Jangka Sederhana (MTN) Hijau ASEAN bernilai RM3 bilion oleh FMM House Sdn Bhd.
UOB berperanan sebagai Penasihat Utama, Penyusun Utama, Pengurus Utama dan Ejen Kemudahan dalam program itu untuk memastikan kelancaran pelaksanaan serta pengurusan kewangan projek.
Di bawah Tranche 1 Program MTN Hijau ASEAN yang mempunyai tempoh 15 tahun dengan jumlah saiz terbitan sehingga RM630 juta akan digunakan untuk membangunkan tiga hab logistik di Pulau Indah, Klang, Selangor.
Program MTN Hijau ASEAN membolehkan penerbitan berbilang peringkat bagi menyokong projek infrastruktur logistik berkualiti tinggi yang bakal dilaksanakan oleh FMM House.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, sokongan terhadap program itu adalah bukti komitmen mereka dalam membina masa depan mampan.
“Projek ini merupakan hab logistik hijau kedua kami di Selangor, selepas sokongan terhadap pembangunan Global Vision Logistics, yang diiktiraf sebagai logistik hijau pertama di Malaysia dan antara yang terbesar di ASEAN.
“Melalui rangka kerja kewangan mampan, kami terus memacu inovasi dan menyediakan penyelesaian berkesan untuk membantu pelanggan dalam usaha penyahkarbonan serta peralihan ke infrastruktur rendah karbon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pembangunan logistik FMM House di Pulau Indah akan menampilkan sistem penyimpanan gudang automatik dengan keluasan lantai kasar kira-kira 1.67 juta kaki persegi dan kapasiti penyimpanan 218,000 palet.
Projek ini turut memiliki Status Emas LEED, menunjukkan komitmen FMM House terhadap pembangunan mampan.
Storio Sdn Bhd akan mengurus sepenuhnya operasi logistik ini, termasuk teknologi pergudangan pintar.
Sementara itu, Pengarah FMM House, Tan Sri Teo Chiang Hong berkata, program itu adalah detik permulaan penting dalam usaha syarikat mentakrif semula infrastruktur logistik melalui automasi dan kemampanan.
“Dengan sokongan UOB Malaysia, kami yakin projek ini akan memenuhi piawaian hijau global serta memacu nilai jangka panjang bagi pemegang kepentingan,” katanya.
Ditubuhkan pada April 2022, FMM House menumpukan kepada pembangunan hartanah perindustrian dengan teknologi pergudangan automatik untuk meningkatkan kecekapan operasi.
Rangka Kerja MTN Hijau ASEAN FMM House telah menerima Penarafan Kewangan Mampan Emas daripada RAM Sustainability, bukti komitmen syarikat terhadap prinsip kemampanan dan kewangan hijau serantau.- DagangNews.com
standard

