Upah lebih kompetitif pacu kemampanan ekonomi

LocalBusiness & Finance
6 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Upah lebih kompetitif pacu kemampanan ekonomi

KEDUDUKAN Malaysia dalam Laporan Kedudukan Daya Saing Dunia 2026 oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) melonjak ke tangga ke-15, meningkat lapan anak tangga berbanding tahun lalu. 

Pencapaian ini mengukuhkan daya saing negara dan berpotensi menarik lebih banyak pelaburan serta syarikat multinasional menjadikan Malaysia sebagai hab perniagaan serantau.

Namun, di sebalik prestasi memberangsangkan ini, satu cabaran besar masih membelenggu ekonomi negara, iaitu kadar upah yang tidak berkembang seiring dengan peningkatan produktiviti dan keuntungan syarikat.

Menurut Kajian Ekonomi dan Kewangan 2025 oleh Bank Negara Malaysia, produktiviti sektor swasta meningkat 9 peratus antara 2019 hingga 2025, tetapi upah sebenar pekerja merosot sebanyak 1.7 peratus. 

Keadaan ini turut disokong oleh data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan nilai jualan sektor pembuatan meningkat 6.4 peratus kepada RM676 juta pada April 2026, manakala nilai jualan bagi setiap pekerja naik 5.1 peratus kepada RM278,344. Namun, kenaikan upah pekerja hanya sekitar 2.5 peratus.

Jurang ini tidak boleh dipandang ringan kerana upah membentuk 62.9 peratus daripada pendapatan isi rumah pada 2024. Perbelanjaan domestik pula kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

Jika pendapatan pekerja terus ketinggalan berbanding produktiviti akan menyebabkan kuasa beli rakyat akan terjejas sekali gus melemahkan permintaan domestik dan pertumbuhan ekonomi negara.

Menyedari hakikat ini, kerajaan menetapkan sasaran agar Pampasan Pekerja (CE) mencapai 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pampasan ini merangkumi gaji, elaun, komisen serta caruman majikan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)  dan Skim Insurans Pekerjaan.

Bagaimanapun, sasaran tersebut masih belum dicapai. Pada 2024, pampasan kepada pekerja hanya menyumbang 33.6 peratus daripada KDNK, manakala 63.7 peratus lagi merupakan lebihan operasi kasar yang dinikmati pemilik modal dan perniagaan. 

Kadar ini juga lebih rendah berbanding Singapura (37.8 peratus), Australia (47.4 peratus), United Kingdom (49.8 peratus) dan Jerman (54.7 peratus).

Keadaan ini menunjukkan manfaat pertumbuhan ekonomi masih lebih banyak dinikmati oleh pemilik modal berbanding tenaga kerja. Sekiranya jurang ini berterusan, usaha Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2028 akan menjadi lebih mencabar.

Selain itu, kadar upah yang rendah turut menyumbang kepada bilangan pembayar cukai pendapatan yang masih kecil, iaitu sekitar 15 peratus rakyat Malaysia. Sedangkan hasil cukai amat penting untuk membiayai pembangunan negara, termasuk pembinaan hospital, sekolah, pengangkutan awam dan jaringan perlindungan sosial.

Penyelesaian isu ini memerlukan komitmen semua pihak. Peningkatan produktiviti mesti diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan pekerja. Majikan juga perlu melihat upah sebagai pelaburan strategik yang mampu meningkatkan motivasi, produktiviti, kesetiaan serta daya saing syarikat dalam jangka panjang.

Kerajaan kini menetapkan semula sasaran pampasan pekerja kepada 40 peratus daripada KDNK menjelang 2033. Sasaran ini bukan sekadar angka statistik, tetapi mencerminkan komitmen untuk memastikan hasil pertumbuhan ekonomi diagihkan secara lebih saksama.

Akhirnya, kemajuan sesebuah negara tidak boleh diukur melalui pertumbuhan KDNK atau keuntungan syarikat semata-mata. Kemakmuran yang mampan hanya akan tercapai apabila pekerja sebagai penggerak utama ekonomi turut menikmati pulangan yang setimpal daripada nilai yang mereka hasilkan. –UTUSAN

 

MOHD. SIDKI HASAN 

Pengasas Malaynomic

 

The post Upah lebih kompetitif pacu kemampanan ekonomi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved