Upah RM1,300 angkut 44 lembu seludup ke Negeri Sembilan

25 Sep 2026 • 10:06 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Upah RM1,300 angkut 44 lembu seludup ke Negeri Sembilan

TANAH MERAH – Hajat dua transporter untuk meraih upah bagi menghantar 44 ekor lembu seludup bernilai RM211,200 ke Negeri Sembilan tidak kesampaian apabila mereka ditahan di tebing Sungai Golok, Kampung Bendang Besar Jedok di sini semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 20 tahun itu ditahan pada pukul 8 malam ketika Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan pemantauan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya mengesan beberapa lelaki mengheret lembu dari arah Sungai Golok ke kawasan belakang sebuah rumah yang terletak kira-kira 200 meter dari sungai.

Katanya, suspek memasang tag telinga pada haiwan tersebut sebelum dimasukkan ke dalam lori yang menunggu di belakang rumah berkenaan.

“Beberapa lelaki yang berada di belakang lori segera lari ke kawasan semak berhampiran selepas menyedari kehadiran anggota PGA. Dua lelaki yang berada di tempat duduk pemandu dan kelindan bagaimanapun tidak sempat melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut di belakang rumah itu menemukan 21 ekor lembu yang diikat pada pokok, manakala seekor lagi berada di dalam van jenis Ford Econovan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di beranda rumah itu membawa kepada penemuan dua surat kebenaran memindah ternakan yang meragukan dan memerlukan siasatan lanjut bagi menentukan kesahihannya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, kedua-dua suspek yang ditahan mengaku bekerja dengan seorang lelaki Thailand dikenali sebagai Abe Lan.

“Mereka mendakwa menerima upah sebanyak RM1,300 untuk menghantar lembu ke Negeri Sembilan. Ini merupakan kali pertama mereka diupah bagi melakukan penghantaran tersebut. Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan adalah 416,200,” ujarnya.

Kedua-dua suspek yang berasal dari Pasir Mas disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

The post Upah RM1,300 angkut 44 lembu seludup ke Negeri Sembilan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved