
Demi memacu perkembangan dunia teknologi dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), telah banyak platform dan aplikasi di Malaysia menawarkan servis penggunaan AI bagi memudahkan urusan dalam pembelajaran, menyelesaikan kerja atau sebagai kegunaan harian.
Terbaru kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Digital menyediakan platform untuk rakyat Malaysia, khususnya golongan belia bagi meneroka dunia teknologi melalui portal Rakyat Digital.
Portal Rakyat Digital ini bukan sekadar menyediakan ‘pentas’ ilmu kursus AI tetapi ia juga memberi peluang untuk orang awam yang ingin tahu dan memahami tentang AI lebih lanjut dan sekaligus memberikan kesedaran digital.
Pelajari 6 kursus berteraskan AI secara percuma
Menjengah ke laman portal Rakyat Digital, dibawah Hab Literasi Digital terdapat satu program yang dikenali Program AI untuk Rakyat yang menawarkan pengetahuan asas tentang AI dan kemahiran digital. Peserta yang layak dan berjaya melengkapkan kursus yang ditetapkan akan menerima akses percuma kepada aplikasi AI terpilih selama tiga bulan.

Jadi apa kursus percuma yang ditawarkan dibawah program Kecerdasan Buatan (AI) ini? Jom ikuti senarainya di bawah:
- Negara AI 2030 : Pendekatan MADANI : Peserta akan belajar tentang nilai Madani dan menggunakan AI secara bertanggungjawab untuk membentuk masa depan digital Malaysia
- Agentik AI untuk Semua : Peserta akan memahami tentang evolusi AI, seni bina AI dan juga aplikasi AI
- Keselamatan AI : Menerusi model yang ini peserta akan memahami tentang risiko AI, mengesan ancaman AI dan menggunakan AI dengan selamat
- Cloud untuk Rakyat : Untuk kursus yang ini pula peserta akan mengetahui tentang konsep asas pengkomputeran awan, pelajari bagaimana awan menyokong perkhidmatan digital moden dan memahami aspek penggunaan teknologi awan secara selamat dan bertanggungjawab
- CyberSAFE untuk Rakyat : Untuk kursus ini peserta akan memahami tentang kesedaran siber bagi melindungi data peribadi dan aset digital. Disamping mengamalkan amalan keselamatan siber dan mempelajari bagaimana mengenal pasti penipuan dan bertindak balas terhadap insiden siber
- AI Generatif : Peserta akan memahami tentang apa itu AI Generatif dan bagaimana ia mencipta kandungan. Dalam masa yang sama peserta juga dapat mempelajari teknik penulisan arahan dan penggunaan alat AI Generatif yang berkesan, disamping mengenal pasti peluang dan cabaran terhadap impak dunia sebenar AI Generatif
Tebus aplikasi AI pilihan terkemuka
Walaupun orang awam boleh mengakses serta melengkapkan kursus percuma yang ditawarkan, namun untuk penebusan aplikasi AI terpilih ia hanya boleh diakses untuk peserta yang berumur dari 18 tahun sehingga 30 tahun sahaja.
Bagi golongan belia yang sedang melengkapkan enam kursus yang dinyatakan, anda akan dapat mengakses masuk aplikasi AI pilihan dan melanggan aplikasi tanpa kos selama tiga bulan.
Tambahan lagi, pengguna hanya boleh buat satu penebusan aplikasi dan setelah pilihan dibuat, pengguna tidak boleh menukar ke aplikasi yang lain. Jadi pilih mengikut kegunaan serta kepentingan masing-masing. Untuk menebus aplikasi AI pula cukup mudah, ikuti langkahnya dibawah:
- Mestilah warganegara Malaysia dan berumur antara 18 hingga 30 tahun semasa buat penebusan
- Layari portal Rakyat Digital dan tekan daftar/log masuk kemudian setelah berjaya log masuk anda akan dibawa ke papan pemuka (Dashboard)
- Lengkapi ke semua 6 modul terpilih di portal Rakyat Digital, kemudian tekan bahagian ‘Penebusan’ untuk melihat senarai aplikasi AI yang ditawarkan dan pilih aplikasi AI pilihan anda dan tekan ‘Tebus Sekarang’.
- Setelah itu, baca syarat penggunaan, tandakan pada kotak “Saya setuju dengan syarat penggunaan”, dan tekan ‘Tebus Sekarang‘.
- Apabila berjaya membuat penebusan anda akan menerima dua e-mel pengesahan, yang pertama e-mel daripada Rakyat Digital yang menyatakan status penebusan beserta panduan langkah seterusnya, dan yang kedua e-mel daripada aplikasi AI pilihan anda yang mengandungi pautan khas untuk mengaktifkan akaun anda di platform aplikasi tersebut.

Apa aplikasi AI yang boleh anda pilih? Jom semak senarainya dibawah:
Gemini (Google Cloud) : Bagi pengguna memilih aplikasi Gemini, ia menawarkan dua khidmat AI iaitu Gemini Enterprise dan Gemini Notebook. Dengan Gemini Enterprise, pengguna dapat manfaatkan teknologi AI untuk membina penyelesaian mengikut keperluan dalam masa beberapa minit sahaja, dan paling penting privasi data pengguna terjamin dan tidak dikongsikan atau digunakan bagi melatih model awam sekaligus memastikan idea pengguna kekal sulit. Manakala Gemini Notebook pula boleh membantu mengubah dokumen PDF dan nota penyelidikan yang banyak menjadi infografik yang jelas, teks pembentangan yang kemas atau menukarkan dokumen berupa ulasan audio seperti bentuk perbualan yang mudah untuk didengari.
ILMUchat (YTL AI Labs) : Bagi peserta yang memilih untuk menebus aplikasi ILMUchat pula, ia menawarkan AI yang dapat memahami bahasa, budaya dan konteks tempatan dengan lebih mendalam. Dan jika pengguna ingin menggunakan khidmat langganan yang lebih canggih pula, ILMUchat pro memberi pengguna akses ciri-ciri canggih lebih dari sekadar perbualan biasa seperti menghasilkan pembentangan, poster, aplikasi mini dan permainan, merangka serta menghantar mesej untuk pengguna.
MuleRun (Alibaba Cloud) : Untuk peserta yang memilih aplikasi ini pula, ia umpama rakan sekerja yang bantu pengguna dalam pelbagai jenis tugasan. Dimana pengguna hanya perlu menyatakan keperluan dalam bahasa harian, dan agen AI akan menyusun langkah yang diperlukan sehingga menyediakan hasil kerja yang boleh digunakan.
WonderClip (Alibaba Cloud) : Manakala peserta yang memilih untuk menebus penggunaan aplikasi WonderClip ini pula, akan dapat menikmati fungsi penghasilan video AI agentik dari idea mentah kepada video yang siap dihasilkan. WonderClip juga merangkumi proses penghuraian skrip, menjana kandungan dalam pelbagai format dan juga penyuntingan secara pintar dimana biasanya penghasilan video yang makan masa berhari-hari boleh diproses dalam hanya beberapa jam sahaja.
Sekadar info, aplikasi AI percuma diperuntukkan untuk 100,000 belia Malaysia secara berfasa mulai 31 Ogos 2026. Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut, boleh layari laman sesawang Rakyat Digital tentang program yang ditawarkan dengan lebih terperinci.




