‘Upko yang patut minta maaf’

LocalPolitics
10 Sep 2025 • 12:52 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PENAMPANG: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal tidak pernah berniat merendahkan martabat masyarakat Murut atau mana-mana komuniti di Sabah ketika tersasul menggunakan perkataan ‘kafir’ dalam satu ucapan baru-baru ini.

Ahli Warisan Penampang, Loganathan Jasper berkata, Shafie segera membetulkan ucapannya dengan menjelaskan beliau sebenarnya mahu mengatakan ‘Kristian’.

“Dalam klip video itu, Shafie pada akhir ucapannya, memohon maaf secara terbuka.

“Beliau mengakui mungkin terlanjur bahasa dan menzahirkan penyesalan sekiranya kata-kata itu menyinggung mana-mana pihak. Ini mencerminkan sifat rendah diri beliau dan kesediaan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau bagaimanapun kesal dengan tindakan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) yang didakwa cuba mempolitikkan isu itu demi “kepentingan politik murahan”.

“Ini mengecewakan, lebih-lebih lagi dengan rekod pengkhianatan mereka sendiri terhadap rakyat Sabah,” katanya merujuk kepada kegagalan Upko menunaikan janji berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri.

Jasper mengingatkan rakyat Sabah bahawa dalam Pilihan Raya Umum 2022, Upko sebagai sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk meneruskan saman terhadap Kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu.

“Upko memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa biarpun PH membentuk kerajaan, saman itu akan diteruskan.

“Namun selepas PH membentuk kerajaan, Upko menarik balik saman tersebut.

“Ini bukan sahaja janji yang dimungkiri, tetapi penipuan terang-terangan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah adalah hak Perlembagaan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bukan slogan politik.

“Isu sebenar bukanlah tersasul, yang sudah pun diperbetulkan dan dimohon maaf, tetapi pengkhianatan terhadap hak Perlembagaan rakyat Sabah di bawah MA63.

“Kami tidak akan terpesong. Komitmen kami teguh: Untuk menuntut Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak Sabah,” katanya.

Timbalan Ketua Penerangan Warisan merangkap Adun Sri Tanjong, Justin Wong, berkata semasa menjadi Ketua Menteri, Shafie berlaku adil kepada semua kaum dengan dasar kerajaan Warisan meliputi seluruh rakyat Sabah.

“Setiap kaum menerima perlindungan, setiap agama diberi perhatian dan setiap kepercayaan dihormati. Ini fakta yang tidak boleh dinafikan,” katanya.

Beliau juga merujuk kepada “pengkhianatan” Upko berhubung isu 40 peratus.

“Itulah pengkhianatan sebenar. Tidakkah Upko dan PH patut memohon maaf kepada rakyat Sabah?” soalnya.

View Original Article