UPM anjur karnival perpaduan untuk perkukuh semangat kebersamaan masyarakat majmuk
zulfadli
29/05/2023 - 10:36
KUALA LUMPUR 29 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) menganjurkan Karnival Perpaduan 'Kita Selangor' melalui Program Geran Perpaduan Kita Selangor 2023 bagi mengukuhkan lagi semangat muhibah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk khususnya penduduk Seri Serdang.
UPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, program di bawah Jawatankuasa Tetap Perpaduan Negeri Selangor dengan kerjasama strategik Majlis Perpaduan Integrasi Selangor (MPIS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Serdang itu dilaksanakan pada 26 hingga 28 Mei 2023.
Katanya, antara objektif pelaksanaan karnival ini adalah untuk memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan penduduk tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.
"Ia juga bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara etnik melalui aktiviti pertukaran silang budaya, memperkenalkan keunikan budaya serta memperkasa pembentukan masyarakat harmoni dan berteraskan kepada prinsip Rukun Negara dalam kalangan penduduk Taman Sri Serdang khususnya dan rakyat Selangor amnya.
"Antara aktiviti yang telah dilaksanakan, termasuk forum perpaduan bertajuk 'Perpaduan Tonggak Masyarakat Madani' membabitkan ahli panel dari pelbagai kaum, program duta cilik perpaduan yang bermatlamat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan kanak-kanak.
"Selain itu, aktiviti seperti sukan silang budaya dan senam tari perpaduan yang menonjolkan aktiviti sukan dan kebudayaan pelbagai kaum serta kenduri perpaduan yang menonjolkan keunikan makanan pelbagai etnik," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis MPIS, K Thanabal menzahirkan penghargaan kepada UPM atas inisiatif menganjurkan karnival itu yang menjadi platform untuk mengeratkan perpaduan dan memperkuat ikatan sosial dalam kalangan masyarakat sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat Madani yang disasarkan pihak kerajaan.

"Marilah kita membawa semangat perpaduan yang dipupuk melalui karnival ini dalam setiap langkah seterusnya dengan menerapkan nilai-nilai perpaduan, toleransi, dan saling hormat menghormati dalam kalangan masyarakat kita," katanya.K Thanabal
Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Prof Madya Dr Omrah Hassan @ Hussin pula berkata, pelaksanaan karnival tersebut memberi manfaat besar kepada semua penduduk setempat terutamanya dapat meneroka dan merasai keindahan elemen perpaduan dalam kepelbagaian etnik yang ada di negara Malaysia tercinta.

Katanya, sebagai institusi ilmu, UPM akan terus komited untuk membantu kerajaan memupuk dan memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat majmuk negara ini.
Penganjuran program tersebut juga menyahut titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika majlis perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2023 Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Baginda mahukan seluruh rakyat merapatkan jurang perbezaan antara kaum dan agama bagi memastikan negara kekal harmoni.
Al-Sultan Abdullah juga mahu rakyat sedar walaupun Malaysia negara berbilang kaum dan agama namun perbezaan tersebut tidak boleh dijadikan sebagai jurang yang memecahbelahkan perpaduan kaum.
Justeru program yang membabitkan penglibatan rakyat pelbagai etnik seperti ini wajar dianjurkan di semua daerah dan negeri di seluruh negara bagi membolehkan masyarakat pelbagai kaum dapat memahami, mengenali dan berkongsi amalan serta budaya masing-masing sekali gus mewujudkan semangat toleransi antara kaum. - DagangNews.com
