UPM lestarikan penyelidikan, konsep kehidupan kampus

LocalEnvironment
10 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UPM lestarikan penyelidikan, konsep kehidupan kampus

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini melancarkan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint bagi memperkukuh agenda kelestarian dan kesihatan planet menerusi penyelidikan, inovasi serta kerjasama pelbagai pihak.

Ia merupakan kerangka strategik menyeluruh yang meletakkan kesihatan planet sebagai teras pembangunan universiti dengan menghubungkan kesejahteraan manusia, pemeliharaan alam sekitar, keterjaminan makanan dan pembangunan sosioekonomi secara bersepadu.

Ia bukan sekadar memberi tumpuan kepada pemeliharaan alam sekitar, sebaliknya menggariskan transformasi menyeluruh merangkumi tadbir urus, pendidikan, penyelidikan, inovasi, operasi kampus dan penglibatan komuniti bagi membudayakan amalan kehidupan lestari.

Image from: UPM lestarikan penyelidikan, konsep kehidupan kampus

Sebagai universiti penyelidikan yang berpaksikan pertanian dan sains hayat, pelan ini memanfaatkan kampus sebagai living laboratory untuk menterjemahkan penyelesaian berasaskan sains kepada tindakan sebenar yang memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan dunia.

Pelan tersebut dibangunkan berasaskan prinsip bahawa kesihatan manusia tidak dapat dipisahkan daripada kesihatan alam sekitar, justeru, UPM memperkenalkan konsep Planetary Stewardship sebagai prinsip asas yang menjadi panduan kepada seluruh ekosistem universiti dalam membuat keputusan, melaksanakan penyelidikan dan membentuk dasar.

Pendekatan berkenaan disokong melalui pembangunan bakat, pendigitalan, tadbir urus yang baik serta pengukuhan aspek biodiversiti, tenaga, air, keterjaminan makanan, kesihatan dan kesejahteraan sebagai komponen saling berkait bagi mewujudkan kampus dan masyarakat yang lebih berdaya tahan terhadap cabaran masa hadapan.

Aspirasi utamanya ialah membudayakan amalan kehidupan lestari sehingga menjadi sebahagian daripada gaya hidup warga universiti dan masyarakat.

Dengan keluasan kampus kira-kira 3,000 hektar merangkumi Serdang dan Bintulu, disokong rangkaian pusat penyelidikan lapangan, ladang, hutan simpan, institut penyelidikan, lebih 30,000 pelajar daripada lebih 75 negara, serta kepakaran daripada 15 fakulti, 11 institut penyelidikan dan tiga Higher Institution Centre of Excellence (HICoE), UPM memiliki ekosistem yang unik untuk menjadikan penyelidikan, pendidikan dan pemindahan ilmu berkaitan kesihatan planet dilaksanakan secara langsung dalam persekitaran sebenar.

Keupayaan tersebut membolehkan universiti menguji, menilai dan memperluaskan penyelesaian berasaskan sains kepada masyarakat melalui kerjasama strategik dengan industri, kerajaan dan komuniti.

Pelan ini turut memperkenalkan pendekatan Blue Ocean Strategy, yang mengangkat UPM daripada sekadar melaksanakan inisiatif kelestarian kepada sebuah institusi yang menjadikan kesihatan planet sebagai identiti dan kelebihan strategik universiti.

Melalui pendekatan ini, UPM berhasrat menjadi peneraju serantau dalam agenda kesihatan planet dengan memperkukuh penyelidikan rentas disiplin, inovasi berimpak tinggi, pendidikan transformatif dan penglibatan komuniti yang mampu menawarkan penyelesaian terhadap isu global seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, keterjaminan makanan, keselamatan air dan kesejahteraan masyarakat.

Pada masa sama, pelan ini menyokong aspirasi negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan ilmu, malah memacu perubahan untuk manfaat generasi kini dan akan datang.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Azlinda Azman berkata, universiti awam tidak lagi boleh bergerak secara silo, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pemacu pertumbuhan negara dan penyelesai masalah komuniti yang semakin kompleks.

“Universiti tidak boleh hanya fokus kepada pencapaian akademik semata-mata. Setiap peruntukan yang diterima perlu diterjemahkan kepada impak nyata kepada landskap nasional dan global.

“Tema Bulan Sinergi Putra 2026 iaitu Dari Kampus ke Impak Nasional dan Global: Sinergi untuk Masa Hadapan Mampan menunjukkan komitmen berani UPM dalam membawa hasil penyelidikan dan inovasi kampus kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Bulan Sinergi Putra 2026 baru-baru ini

Beliau berkata, pelan kesihatan planet itu juga bertepatan dengan keperluan semasa ketika dunia berdepan pelbagai cabaran berkaitan perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar dan isu kelestarian.

Katanya, UPM mempunyai peranan penting dalam menawarkan penyelesaian berasaskan penyelidikan bagi membantu negara menangani isu tersebut.

“Melalui pelancaran blueprint ini, saya berharap UPM dapat menawarkan formula dan model rujukan kelestarian yang lebih komprehensif bagi menghadapi cabaran semasa.

Blueprint ini juga berpotensi menjadi rujukan kepada institusi pengajian tinggi lain dalam memperkukuh agenda kesihatan planet dan kelestarian,” katanya.

Bulan Sinergi Putra 2026 merupakan kemuncak kepada pelbagai usaha strategik yang dilaksanakan UPM bagi menyelaraskan sasaran KPI Interim 2026 dan Pelan Strategik UPM 2026-2030.

Katanya, pelaksanaan agenda universiti perlu diterjemahkan kepada tindakan sebenar dan tidak sekadar menjadi dokumen perancangan.

“Cabaran terbesar mana-mana organisasi selepas merangka pelan strategik ialah pelaksanaannya.

Bulan Sinergi Putra 2026 menjadi jawapan UPM untuk memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada universiti, masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPM Profesor Datuk Dr. Ahmad Farhan Saadullah berkata, soal pertanian dan keterjaminan makanan berada di bawah Planetary Health.

“Kesihatan planet ini merangkumi bidang yang luas. Oleh itu, mengikut strategi dalaman, kita merangka agenda pertanian dan keterjaminan makanan.

“Di UPM, bidang asas kita juga melibatkan perkara-perkara yang menyokong kesihatan planet,” ujarnya.

Beliau memberi contoh, UPM mempunyai hospitalnya sendiri. Oleh itu kesihatan planet adalah termasuk kesejahteraan manusia.

Katanya, sebagai universiti yang mempunyai Fakulti Perubatan Veterinar sekali gus memiliki hospital veterinar sendiri merupakan satu entiti dalam kesihatan planet.

Dengan itu katanya, UPM mempunyai keupayaan dalam menjaga haiwan yang juga sebahagian daripada agenda tersebut.

UPM juga yang mempunyai Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan turut memiliki hutan dan menjaganya sebagai satu komponen penting dalam konsep kesihatan planet.

Oleh itu, katanya, UPM terpanggil untuk menghimpunkan kepakaran penyelidiknya yang meliputi aspek kesihatan planet meliputi manusia, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan serta persekitaran dalam satu gabungan yang dinamakan dan dilancarkan dalam konteks kesihatan planet dan kelestarian.

Usaha UPM itu kata beliau boleh dianggap membuka konsep kesihatan planet secara dalaman di dua kampusnya.

“Konsep kesihatan planet ini membuka ruang kepada kami untuk menonjolkannya, manakala dari segi impak luaran, semua yang kita buat di UPM ini, kita mahu supaya memberi kesan yang positif kepada keadaan sebenar di luar kampus, sama ada melalui hasil pendidikan kita, produk kita, didikan kita dan pembangunan kapasiti kita,” ujarnya. – UTUSAN

The post UPM lestarikan penyelidikan, konsep kehidupan kampus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved