UPM, Min'an bantu beri khidmat sokongan kepada pelajar China di Malaysia menerusi platform WeChat dan talian hotline

20 Jun 2023 • 4:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UPM, Min'an bantu beri khidmat sokongan kepada pelajar China di Malaysia menerusi platform WeChat dan talian hotline

zulfadli

20/06/2023 - 16:35

KUALA LUMPUR 20 Jun - Sekumpulan pelajar sarjana dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan kempen kesedaran untuk pelajar antarabangsa China, menerusi kerjasama The Min'an Oversea Public Services Solutions (Min'an).

Projek penyelidikan yang diselia oleh Prof. Madya Dr Nurul Ain Mohd Hasan merupakan sebahagian daripada tugasan akhir bagi mata pelajaran Perhubungan Awam Lanjutan.

Satu sesi perjumpaan maya di platform Zoom selama 30 minit yang dihadiri pelajar China dari universiti tempatan, termasuk UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah dijalankan bersama Pengerusi Min'an, Huang Bin.

Sesi tersebut membincangkan pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pelajar, termasuk isu-isu berkaitan kesihatan dan keselamatan peribadi.

Beberapa aktiviti juga telah dijalankan sebelum perjumpaan maya tersebut, untuk meraih penyertaan dan sokongan meluas daripada pelajar, terutama pelajar China, sekali gus memberi kesedaran tentang sistem sokongan yang ditawarkan oleh Min'an.

Huang berkata, pihaknya menyedari keperluan untuk membantu pelajar China di Malaysia.

"Talian hotline dan saluran WeChat khusus untuk tujuan ini diharapkan dapat memudahkan dan menggalakkan pelajar untuk berhubung terus dengan kami untuk mendapatkan sebarang bantuan. Kami sedia menghulur bantuan tanpa prejudis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga bekas pelajar antarabangsa China di Malaysia pernah menghadapi pelbagai cabaran semasa tempoh pengajiannya.

Pengalaman ini mendorong kepada usaha beliau menubuhkan organisasi sokongan, dengan bekerjasama terlebih dahulu bersama Kedutaan China di Malaysia.

Sejak penubuhannya pada 2016, Min'an telah membentuk sistem sokongan dan memainkan peranan penting dalam membantu pelajar China menangani pelbagai cabaran yang mungkin mereka hadapi dalam perjalanan pendidikan mereka di Malaysia.

Sementara itu, Nurul Ain pula berkata, beliau bangga melihat kesungguhan yang ditunjukkan ahli pasukan penyelidikan ini dan pendedahan yang mereka berikan kepada pelajar China di Malaysia.

"UPM menyambut baik pelajar antarabangsa dari semua negara. Kepelbagaian dan pendedahan budaya akan memberi manfaat kepada pelajar tempatan dan antarabangsa," katanya.

Untuk rekod, kira-kira 30,000 pelajar antarabangsa China sedang belajar di Malaysia di universiti awam dan swasta, tahun ini.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang sistem sokongan untuk pelajar China di Malaysia, layari http://zzm.my/ atau ikuti akaun sosial rasmi WeChat (minanhaiwaiyianzhu), Weibo (Malaysia China Welfare Advisory Society) atau hubungi talian hotline 1800 88 9958. - DagangNews.com

View Original Article