UPM perkasa agenda keterjaminan makanan di Sabah, latih komuniti Sepanggar dalam pertanian dan penternakan

06/08/2025 - 12:17
Program pemindahan ilmu oleh pelajar UPM memberi manfaat kepada komuniti Sepanggar di Sabah Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 6 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperluaskan usaha pemindahan ilmu dalam bidang pertanian dan penternakan ke Sabah menerusi program Jelajah Pendidikan Tinggi Untuk Komuniti yang berlangsung di Sepanggar baru-baru ini.
Seramai 20 pelajar UPM yang terdiri daripada barisan kepimpinan Persatuan Anak Negeri seluruh negara menyertai kursus jangka pendek bersama komuniti setempat, dengan tumpuan kepada aspek keterjaminan makanan dan kelestarian pertanian.
Antara ilmu yang dikongsikan termasuk teknik ternakan udang kara air tawar, penanaman cendawan tiram, pembuatan baja kompos serta teknik menanam durian Musang King dan pokok mangga.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pendekatan turun padang oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dapat memastikan kepakaran dalam kampus tidak hanya berlegar di menara gading, sebaliknya disalurkan terus kepada komuniti luar bandar.
“Masyarakat di Sepanggar perlu merebut peluang bimbingan dan latihan daripada tenaga pakar IPT demi kemajuan bersama.
“Saya berharap usaha murni dalam memindahkan ilmu dan kepakaran daripada kampus ke akar umbi komuniti ini dapat memberi manfaatnya untuk semua pihak,” katanya Ketika merasmikan program itu di Sekolah Kebangsaan Kokol, Sepanggar baru-baru ini.

Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman serta wakil daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kolej Komuniti Penampang dan Kolej Komuniti Papar.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, program itu menjadi platform penting dalam membawa kepakaran UPM merentasi Laut China Selatan ke negeri Sabah, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan negara secara holistik.
“UPM berharap dengan membawa kepakaran pertanian merentasi Laut Cina Selatan ke Sabah, dapat menyokong agenda keterjaminan makanan yang boleh memberi impak lestari kepada rakyat Sabah secara bersiri selepas ini.
“UPM mempunyai tanggungjawab berat untuk memartabatkan sektor pertanian negara dalam menyokong negara berhadapan dengan masalah hasil pengeluaran pertanian yang rendah dan peningkatan bekalan import makanan asas dari negara luar,” katanya. - DagangNews.com


standard



