UPM perkenal dedak cendawan sebagai makanan alternatif untuk haiwan ternakan

10 Jul 2023 • 5:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UPM perkenal dedak cendawan sebagai makanan alternatif untuk haiwan ternakan

zulfadli

10/07/2023 - 17:30

KUALA LUMPUR 10 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan makanan dedak cendawan sebagai alternatif menggantikan dedak jagung kepada haiwan ternakan menerusi penanaman cendawan tiram di bawah infrastrukrur sistem solar fotovoltaik (PV).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, usaha inovasi berterusan seperti dedak cendawan yang dikenali sebagai MyShroomFeed itu akan membantu menyelesaikan keresahan para penternak di Malaysia serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber import.

"Pihak kementerian sangat mengharapkan penglibatan berterusan pihak UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan pertanian negara dalam mencakna rumusan bagi pelbagai isu terkini pertanian antaranya keperluan alternatif bagi bekalan dedak ternakan, keterjaminan bekanan telur dan daging, serta ketandusan tanah pertanian," katanya selepas merasmikan Integrated Agrivoltaic Trail di UPM hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berharap penghasilan MyShroomFeed yang sedang diusahakan penyelidik UPM akan membantu mengurangkan kebergantungan import jagung bijirin serta bahan utama protein di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Ketua projek, Dr Mohammad Effendy Ya’acob berkata, hampas akar cendawan tiram dan bongkahnya adalah sebagai alternatif menggantikan dedak haiwan ternakan iaitu ayam, itik, arnab dan kambing memandangkan nilai nutrisi terutama 'Crude Protein (CP)' yang tinggi dan tempoh tuaian cendawan yang singkat.

"Tempoh tuaian cendawan tiram adalah tujuh hari selepas bongkah matang serta kaedah penanaman lebih mudah berbanding jagung bijirin yang memerlukan sekitar 120 hari tempoh penanaman," katanya.


Selain itu, penyelidik UPM membangunkan ‘Agrivoltaic Mushroom Tunnel’ yang merupakan inovasi pertama di dunia bagi penanaman cendawan tiram berskala besar di bawah infrastruktur solar.

image is not available

image is not available

Potensi penanaman cendawan tiram di Ladang Solar Puchong bersaiz 2 hektar adalah sekitar 600,000 unit bongkah dengan hasil tuaian mencecah 60 tan yang diagihkan kepada 10 zon penanaman.


Syarikat pemula UPM, Putra Science Park (PSP) UPM, AgroPV Integrated SB dan Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSA) menjalankan kerjasama strategik dalam membangunkan teknologi sistem solar 'Integrated Agrivoltaic Trail' sebagai platform dan 'Proof of Concept (PoC)' iaitu integrasi pertanian dalam sistem PV. - DagangNews.com