UPM, tiga universiti antarabangsa jalin kerjasama anjur pameran SEED Showcase 2023

6 Jul 2023 • 4:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UPM, tiga universiti antarabangsa jalin kerjasama anjur pameran SEED Showcase 2023

zulfadli

06/07/2023 - 16:16

KUALA LUMPUR 6 Julai - Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan pameran 'International Sustainable, Environmental, Exploration, and Design (SEED) Showcase 2023' bagi memperlihatkan peranan bidang reka bentuk perindustrian kepada masyarakat.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof Dr Ismi Arif Ismail berkata, pameran tersebut sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025, Matlamat 1 Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

"Ini juga secara langsung dapat mempromosikan reka bentuk pelajar dan memberikan pereka muda ini platfom untuk diperkenalkan kepada organisasi awam dan swasta serta membina jaringan bersama universiti antarabangsa yang akan memberi manfaat bersama," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu pameran SEED Showcase 2023 merupakan kerjasama dengan tiga universiti antarabangsa, termasuk Universiti Suan Sunandha Rajabhat (SSRU), Thailand, Universiti Tatung, Taipei, Taiwan dan Universiti Telkom, Indonesia serta 17 syarikat industri tempatan.

Pengarah International SEED Showcase 2023, Muhammad Nazrin Ramlan berkata, sebanyak 39 projek prototaip pelajar tahun akhir (FYP) pelajar bacelor reka bentuk (reka bentuk perindustrian), Jabatan Rekabentuk Perindustrian, FRSB UPM dipamerkan kali ini.

"Penganjuran pameran itu yang dikendalikan pelajar sepenuhnya dapat memberikan pendedahan kepada pelajar serta menghasilkan reka bentuk terkini dengan menggunakan bahan yang boleh dikitar semula bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar," katanya.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Perkhidmatan Akademik, Fakulti Seni Halus dan Gunaan Suan Sunandha Rajabhat University, Prof Dr Pibool Waijittragum berkata, pameran itu memberi peluang kepada pelajar SSRU untuk mengadakan kerjasama serta pertukaran kepakaran bersama UPM.

image is not available
Prof Dr Ismi Arif Ismail (kanan) melakukan gimik perasmian pameran SEED Showcase 2023 di UPM, Serdang, Selangor, baru-baru ini.

image is not available

"Saya berharap kerjasama bersama FRSB UPM akan berterusan pada masa akan datang dan ia dapat meningkatkan jaringan antarabangsa untuk mendapat manfaat bersama," katanya.

FRSB UPM turut menganjurkan Seminar Design Talk yang membincangkan mengenai 'Design In the Age of Technology' bersama pensyarah Korea Advanced Institute of Science & Technology (KAIST), Prof Taek Jin Nam bagi perkongsian perspektif baharu penyepaduan reka bentuk interaktif ke dalam karya reka bentuk arus perdana.

image is not available

Sementara itu, pameran yang bertemakan ‘Enhancing Curtomization Through Circular Design' akan berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Julai di di Galeri Serdang, FRSB UPM. - DagangNews.com