UPSI anjur pertandingan debat Bahasa Cina Piala Pendidikan, perkasa pemikiran kritis mahasiswa

17 Jun 2026 • 8:30 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI anjur pertandingan debat Bahasa Cina Piala Pendidikan, perkasa pemikiran kritis mahasiswa
Law Chun Yoong (tiga dari kiri) ketika menyempurnakan gimik perasmian penutupan Pertandingan Debat Bahasa Cina Piala Pendidikan di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI. Photo credit: UPSI

Pertandingan Debat Bahasa Cina Piala Pendidikan yang menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai universiti dan institut pendidikan guru dilihat sebagai platform penting dalam melahirkan generasi muda yang berfikiran kritis, berani menyuarakan pandangan serta cakna terhadap isu-isu pendidikan dan pembangunan negara.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Tanjong Malim merangkap Pegawai Kemajuan Perkampungan Daerah Muallim, Law Chun Yoong berkata, pertandingan tersebut bukan sekadar medan persaingan intelektual, malah merupakan usaha penting dalam membentuk generasi muda yang berfikiran terbuka dan mampu menyumbang idea bernas terhadap isu-isu semasa, khususnya dalam bidang pendidikan.

“Pertandingan debat ini bukan sekadar platform pertandingan semata-mata, tetapi merupakan usaha penting dalam membentuk generasi muda yang berfikiran terbuka, cakna terhadap isu semasa terutamanya isu pendidikan dan berani menyuarakan pandangan demi kemajuan masyarakat dan negara.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Bahasa Cina Piala Pendidikan anjuran Biro Latihan Perdebatan, Persatuan Bahasa Cina, UPSI di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, kelmarin.

Menurut beliau, program seumpama itu berjaya menghimpunkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang dalam suasana yang menggalakkan pertukaran idea, pemikiran kritis serta kemahiran berhujah secara matang dan beretika.

Katanya, penyertaan dalam debat bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan diri peserta, malah turut memupuk nilai kepimpinan, kerjasama dan sikap saling menghormati yang amat penting dalam membentuk generasi masa hadapan.

Beliau turut menegaskan bahawa perbezaan pendapat dan latar belakang tidak seharusnya dilihat sebagai halangan, sebaliknya menjadi kekuatan yang memperkayakan perbincangan serta mengeratkan hubungan antara mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua peserta yang telah menunjukkan prestasi yang membanggakan, khususnya pasukan Universiti Putra Malaysia dan pasukan Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak yang berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bahasa Moden, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI, Dr. Taj Rijal Muhamad Romli berkata pertandingan debat merupakan platform signifikan dalam melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara matang, rasional dan analitis serta menyampaikan hujah secara berhemah dan profesional.

Dr. Taj Rijal berkata pertandingan yang berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan dan saling menghormati itu turut menjadi wadah untuk mahasiswa memperluas jaringan persahabatan serta memperkukuhkan kecintaan terhadap bahasa dan budaya.

“Dalam dunia yang semakin mencabar dan kompetitif, keupayaan untuk berkomunikasi dengan baik serta mempertahankan idea secara intelektual merupakan satu nilai tambah yang amat penting bagi membentuk modal insan berkualiti tinggi,” katanya.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.