UPSI boleh main peranan bangunkan program pengajian TVET aras tinggi

21 Jul 2023 • 4:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UPSI boleh main peranan bangunkan program pengajian TVET aras tinggi

zakisalleh

21/07/2023 - 16:35

TANJUNG MALIM 21 Julai - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) boleh memainkan peranan membangunkan program pengajian baharu dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi bagi melahirkan golongan pendidik terlatih.

Ia boleh dimainkan berdasarkan pengalaman universiti tersebut termasuk dalam bidang digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program TVET aras tinggi diperlukan yang mana UPSI merupakan peneraju dalam bidang pendidikan.

Menurut beliau, pengajian tersebut bagaimana pun memerlukan peralatan serta mesin yang menelan belanja besar untuk diperoleh.

image is not available
Mohamed Khaled (tengah) dan Naib Canselor UPSI, Prof. Dato' Dr Md Amin Md Taff (kanan) bersama para pelajar UPSI semasa melawat universiti itu

"Bidang TVET tahap tinggi yang boleh diteroka ialah kecerdasan buatan (AI).

"Saya telah minta UPSI melihat pada penggunaan AI dan sebagainya untuk membolehkan politeknik dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menawarkan program-program TVET lebih tinggi.

“Mungkin UPSI perlu berunding dengan MTUN dan politeknik, bidang-bidang apa yang baharu dan boleh ditawarkan.

"UPSI juga berkeupayaan menyediakan kurikulum serta subjek yang menggunakan pengalaman digital," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke universiti tersebut di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah hari ini.

Pada lawatan itu, Mohamed Khaled turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara UPSI dengan empat syarikat.

image is not available
Mohamed Khaled (enam dari kanan) bersama Md Amin (empat dari kiri) dan wakil-wakil yang terlibat pada majlis pertukaran MoU bagi menjalankan kerjasama dengan UPSI.

Antaranya H3C Sdn Bhd, Microsoft (M) Sdn Bhd, Todak Sdn. Bhd. dan Asia Digital Engineering (ADE).

Ia kerjasama penyelidikan berkaitan teknologi, rujukan industri dan akademia dalam bidang 'metaverse', AI dan robotik serta pensijilan dalam Kejuruteraan Rangkaian H3C serta penubuhan Akademik H3C pertama di Malaysia.

Ia juga sebagai mengiktiraf UPSI sebagai institut pendidikan dalam Pembelajaran Microsoft untuk para pendidik di negara ini. - DagangNews.com