UPSI Bukti Kepakaran Lahirkan Guru Cemerlang di Hari Guru Kebangsaan 2025

20 Jun 2025 • 12:00 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

image is not available
Photo credit: Oh Zi Jian

Dr. Oh Zi Jian (dua dari kanan) bergambar sambil memegang plak dan sijil Anugerah Guru Inovatif (Individu Lepas Menengah) sempena majlis Sambutan Hari Guru 2025 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK)

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan keunggulannya sebagai institusi peneraju dalam melahirkan pendidik berkualiti apabila seramai 12 alumninya meraih pelbagai anugerah berprestij sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 baru-baru ini.

Pengiktirafan yang diterima dalam tiga kategori utama iaitu Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Ikon Guru, dan Anugerah Guru Berwibawa menegaskan kedudukan UPSI sebagai institusi pakar yang konsisten menghasilkan guru berdaya saing dan berimpak tinggi di peringkat nasional.

Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr. Omar Firdaus Mohd Said, berkata kejayaan luar biasa alumni UPSI ini merupakan manifestasi kepada kekuatan tradisi latihan guru yang telah dibina sejak lebih seabad lalu.

“UPSI bukan sekadar melatih guru, tetapi membentuk pemimpin pendidikan yang mempunyai nilai integriti, profesionalisme dan semangat inovatif.

Penerima Anugerah Guru Inovatif (Individu Lepas Menengah) tempat pertama, Dr. Oh Zi Jian, menyerlah dengan inovasi pengajaran STEM berasaskan kecerdasan buatan (AI), manakala Basirah Mahamad@Abu Bakar dan Zamzuriani Hj Kassim masing-masing memenangi tempat pertama dalam kategori Individu Prasekolah Swasta dan Prasekolah, hasil pendekatan pedagogi aktif dan kreatif.

Sementara itu, Zulazri Yusof diumumkan pemenang tempat pertama Anugerah Ikon Guru Seni Persembahan, manakala Mohamad Ridzwan Ali dan Noriham Ab Wahab masing-masing meraih tempat pertama dan kedua bagi subkategori Guru Bimbingan dan Kaunseling.

Muhammad Amin Abu (Guru Muda Berprestasi) dan Norafif Mohd Amin (Guru Sukan) pula meraih tempat ketiga dalam kategori masing-masing.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa UPSI adalah pakar dalam melahirkan pendidik berkualiti tinggi.

Tambah beliau, pengiktirafan ini membuktikan bahawa model pendidikan dan latihan guru di UPSI kekal relevan dan berkesan dalam menghadapi cabaran pendidikan masa kini dan masa depan.

“Alumni kami kini menjadi wajah utama reformasi pendidikan negara. Mereka bukan sahaja cemerlang di bilik darjah, tetapi juga menjadi pencetus perubahan di peringkat sistemik dan komuniti,” ujarnya.

Kecemerlangan UPSI dalam melahirkan guru berwibawa turut terserlah menerusi kejayaan Siti Munirah Mohamed (Pensyarah Berwibawa) dan Mohd Zulkhairi Umar (Guru Orang Asli/Peribumi Berwibawa) yang masing-masing meraih tempat pertama, diikuti Dr. Hairul Faiezi Lokman yang menerima tempat kedua dan Mohd Reduan Daud yang meraih tempat ketiga dalam kategori Pendidikan Khas.

Sambutan Hari Guru 2025 bertemakan ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’ menyaksikan penyampaian anugerah oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), disaksikan lebih 5,000 warga pendidik dari seluruh negara.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.