UPSI Cipta Sejarah, Kaunseling Kesihatan Mental Bergerak ‘Counselor on Wheels’ Dapat Pengiktirafan MBOR

LocalHealth & Fitness
8 Apr 2026 • 11:55 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pelaksanaan First Mobile Mental Health Counseling Program menerusi inisiatif ‘Counselor on Wheels’ (COW), sekali gus menjadi program kaunseling kesihatan mental bergerak pertama di negara ini.

Pengiktirafan itu disampaikan oleh wakil MBOR, Siti Hajar Johor sempena Majlis Perasmian First Mobile Mental Health Counseling dan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme yang berlangsung di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjong Malim, Perak hari ini (8 April).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, inisiatif berkenaan merupakan satu langkah proaktif universiti dalam mendekati komuniti dengan membawa perkhidmatan intervensi kesihatan mental secara terus kepada masyarakat.

“Melalui inovasi ‘Counselor on Wheels’, kita telah mentransformasikan Bas Pendidikan UPSI menjadi platform perkhidmatan kaunseling bergerak yang bukan sahaja memfokuskan aspek pencegahan dan psikopendidikan, malah turut melibatkan intervensi serta rujukan kepada pakar.”

Beliau berkata, program itu membuktikan peranan universiti bukan sekadar sebagai pusat penyebaran ilmu, tetapi juga sebagai institusi yang bertindak sebagai penyelesaian kepada isu masyarakat khususnya dalam aspek kesejahteraan mental.

image is not available
Foto: UPSI

Menurut Dr Norkhalid lagi, pasukan pelaksana yang terdiri daripada Pegawai Psikologi dan fasilitator mahasiswa terlatih dalam Psychological First Aid (PFA) telah berjaya menyantuni seramai 7,648 peserta di 38 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Inisiatif ini juga diperkukuh dengan penggunaan teknologi realiti maya (VR) yang membantu memberikan pengalaman intervensi lebih efektif, sekali gus mengurangkan stigma masyarakat terhadap rawatan kesihatan mental,” katanya.

Sementara itu, majlis sama turut menyemarakkan Sambutan Bulan Kesedaran Autisme yang diraikan sepanjang April bagi meningkatkan kefahaman serta penerimaan masyarakat terhadap individu autisme.

Tambah Dr. Norkhalid lagi, autisme perlu dilihat sebagai satu keunikan yang memerlukan sokongan dan kefahaman, bukan penghakiman.

“Sebagai institusi pendidikan, UPSI komited membina ekosistem inklusif yang bukan sahaja meningkatkan kesedaran, tetapi juga memperkukuh penerimaan terhadap kepelbagaian dalam masyarakat.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Dr. Mohd Izwan Shahril; Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr. Pau Kee dan Pengarah Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE) UPSI, Dr. Hasrul Hosshan.