Perhimpunan Bulanan Ogos 2025: Semarak Merdeka anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini diserikan dengan perarakan pakaian tradisional melibatkan 19 kontinjen daripada pelbagai fakulti, jabatan dan pusat tanggungjawab universiti berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata, perarakan itu bukan sekadar peragaan fesyen tetapi lambang kepada kepelbagaian, kebudayaan dan perpaduan masyarakat Malaysia.
“Setiap pakaian tradisional yang dipersembahkan membawa cerita dan warisan tersendiri. Ia mencerminkan wajah sebenar Malaysia yang kaya dengan pelbagai etnik, budaya dan bahasa, dan inilah juga wajah sebenar UPSI,”
Menurut beliau, usaha itu penting dalam membina kesedaran dalam kalangan warga universiti, khususnya generasi muda, agar lebih menghargai warisan budaya dan memahami nilai kemerdekaan.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis tersebut yang diadakan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, di sini.
Dalam pertandingan kontinjen terbaik, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) dinobatkan sebagai juara, manakala tempat kedua dimenangi oleh Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB) dan tempat ketiga dimenangi oleh Jabatan Pendaftar.
Menurut Prof. Dr. Norkhalid, penglibatan pelbagai pihak dalam menjayakan perarakan itu membuktikan nilai kerjasama dan semangat gotong-royong yang menjadi teras kepada sambutan kemerdekaan.
“Apabila kakitangan tampil memperagakan pakaian tradisional, mereka bukan sahaja menonjolkan keindahan seni tekstil dan busana, tetapi juga menghidupkan semangat kebersamaan. Inilah nilai yang harus kita pelihara, bahawa kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas untuk merayakan kepelbagaian yang menyatukan kita semua.
“Kita mahu warga UPSI menjadi cerminan masyarakat merdeka yang berfikiran kritis, berjiwa besar dan berpegang pada nilai murni. Kita harus menjadi contoh kepada masyarakat luar, bahawa universiti bukan sekadar pusat ilmu, tetapi juga medan untuk membina bangsa yang berdaulat,” katanya lagi.
“Sebagai warga universiti, kita mendidik bakal pemimpin negara. Oleh itu, kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui integriti, etika kerja yang tinggi serta semangat membina bangsa melalui ilmu,” katanya.
Perhimpunan bulanan itu turut menjadi medan memperkukuh ukhuwah antara warga UPSI, selain memperingati detik bersejarah 31 Ogos 1957 dalam suasana penuh semangat patriotik.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)