UPSI perkasa belia Muallim melalui kursus penternakan ayam penelur

29 Jul 2026 • 10:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI perkasa belia Muallim melalui kursus penternakan ayam penelur
Dr. Mohd Azlan (duduk lima dari kanan) bergambar bersama peserta Program Pendayaan Komuniti @UniMADANI: Kursus Asas Pengurusan Ayam Penelur pada majlis penutupan program berkenaan di Hab Agromekanisasi, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI. Photo credit: UPSI

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) berjaya memperkasa belia di daerah Muallim melalui pelaksanaan Program Pendayaan Komuniti @UniMADANI: Kursus Asas Pengurusan Ayam Penelur yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran penternakan bagi meningkatkan keterjaminan makanan serta memperkukuh ekonomi keluarga dan komuniti.

Program yang dibiayai menerusi dana Kementerian Kewangan Malaysia itu dilaksanakan dalam tiga siri bermula September 2025 hingga Julai tahun ini dengan penyertaan 50 peserta dari sekitar daerah Muallim.

Dekan FTV UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain berkata, tiga siri kursus yang dilaksanakan meliputi Kursus Asas Pengurusan Ayam Penelur, Pembuatan Makanan Ternakan Secara DIY serta Potensi Keusahawanan dalam Bidang Ternakan dan Social Enterprise bagi melengkapkan peserta dengan pengetahuan menyeluruh dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan latihan teori dan amali yang membolehkan mereka mengurus projek penternakan ayam penelur secara sistematik, bermula daripada penyediaan reban, pengurusan ternakan, penyediaan makanan sehingga aspek keusahawanan.

“Melalui pendekatan latihan berasaskan kemahiran dan amali, peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan mengenai pengurusan ayam penelur, malah berpeluang membangunkan perusahaan yang mampu menjana pendapatan sampingan serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

“Usaha seperti ini juga selaras dengan aspirasi UniMADANI dalam memperkasa komuniti melalui ilmu, inovasi dan pembangunan ekonomi yang mampan, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya pada majlis penutup program di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Sebagai sokongan kepada pelaksanaan projek di peringkat komuniti, setiap peserta menerima kit pemula yang mengandungi 10 ekor ayam penelur dewasa, bekalan makanan ternakan untuk tempoh dua bulan serta sebuah sangkar lengkap dengan sistem minuman automatik dan bekas makanan.

Bagi memastikan projek yang dijalankan terus berkembang, pihak penganjur turut melaksanakan pemantauan berkala melalui perkongsian data berkaitan hasil pengeluaran telur harian, berat dan gred telur, selain mengenal pasti sebarang permasalahan bagi membolehkan khidmat nasihat serta tindakan susulan diberikan.

Image from: UPSI perkasa belia Muallim melalui kursus penternakan ayam penelur
Dr Fazhana (kiri) bergambar bersama beberapa orang peserta ketika sesi serahan starter kit pelihara ayam penelur dewasa pada Program Pendayaan Komuniti @UniMADANI: Kursus Asas Pengurusan Ayam Penelur di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI. Photo credit: UPSI

Sementara itu, Ketua Projek, Ts. Dr. Fazhana Ismail berkata UPSI akan meneruskan usaha pemindahan ilmu kepada masyarakat melalui pelbagai program susulan bagi memperluaskan penyertaan komuniti dalam aktiviti keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata antara perancangan yang sedang disusun ialah penganjuran kursus lanjutan mengenai penghasilan makanan ternakan berasaskan Larva Lalat Askar Hitam (Black Soldier Fly Larvae) dan Azolla bagi membantu penternak mengurangkan kebergantungan kepada makanan ternakan komersial yang semakin meningkat harganya.

Majlis penutup program menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta oleh Timbalan Pengarah (Unit Perundingan, Pengkomersialan dan Inovasi), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Prof Dr. Ahmad Jazimin Jusoh, bersama Prof Madya Dr. Mohd Azlan dan Ts. Dr. Fazhana sebagai pengiktirafan terhadap komitmen peserta sepanjang mengikuti program.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved