UPSI perkukuh agenda kelestarian melalui Karnival Alam Sekitar 2025

Environment
17 Dec 2025 • 10:30 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI perkukuh agenda kelestarian melalui Karnival Alam Sekitar 2025
Dr. Suriani (dua dari kanan) ketika menyempurnakan gimik peluncuran Karnival Alam Sekitar Peringkat UPSI 2025 di Tapak Food Truck, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan komitmennya terhadap agenda kelestarian alam sekitar dengan penganjuran Karnival Alam Sekitar Peringkat UPSI 2025.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar berkata karnival anjuran Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) itu bertujuan memupuk kesedaran sivik mengenai pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat kebangsaan yang diraikan pada Oktober lalu.

Beliau berkata tahun 2025 menyaksikan pencapaian cemerlang UPSI dalam pengurusan alam sekitar apabila menerima pengiktirafan IPT Lestari Perak 2025, memperoleh penarafan Empat Diamond bagi Low Carbon City 2030 Challenge serta melonjak ke kedudukan ke-98 dunia dalam UI GreenMetric World University Rankings 2025, sekali gus tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia buat pertama kali.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar,” katanya ketika meluncurkan karnival berkenaan di Tapak Food Truck, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Sabtu lalu.

Menurut beliau, peluncuran inisiatif berkenaan turut bertujuan mendidik masyarakat mengenai teknologi hijau dan potensi sisa plastik untuk ditukar kepada bahan bakar alternatif, selain menangani cabaran alam sekitar yang semakin kompleks.

Beliau turut mencadangkan supaya UPSI membangunkan sistem penilaian bagi mengukur pencapaian kelestarian universiti secara menyeluruh, termasuk pendekatan berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pelaksanaan kerangka Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan sokongan kepimpinan serta pembiayaan yang bersesuaian.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Prof Madya Ts Dr. Nor Kalsum Mohd Isa berkata, karnival berkenaan berfungsi sebagai platform kolaboratif yang menghimpunkan universiti, agensi kerajaan, industri dan komuniti dalam usaha bersama memelihara alam sekitar ke arah masa depan yang lebih lestari.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan dan berharap karnival seumpama ini dapat diperluas pada masa akan datang bagi memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Karnival itu turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah Sambutan Hari Bumi Peringkat UPSI serta lawatan ke lebih 20 reruai pameran melibatkan agensi kerajaan, organisasi dan jabatan universiti yang mempamerkan demonstrasi, perkongsian ilmu serta aktiviti interaktif berkaitan alam sekitar, biodiversiti, keselamatan awam dan teknologi hijau.

Selain pameran, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk Jualan Rahmah, fun walk sejauh tiga kilometer dan aktiviti santai untuk seisi keluarga, yang berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat dari Tanjong Malim dan kawasan berhampiran.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.