UPSI Raih 5 Anugerah Buku Negara 2024–2025

5 Dec 2025 • 12:37 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengukuhkan kedudukannya sebagai penerbit institusi pendidikan terkemuka apabila meraih lima Anugerah Buku Negara 2024–2025 pada majlis penganugerahan yang berlangsung di Pentas Utama, Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025 di Setia City Convention Centre, Shah Alam pada 3 Disember.

Pengarah Penerbit UPSI, Profesor Dr. Nordiana Hamzah berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan UPSI melahirkan karya berkualiti merangkumi genre ilmiah, kreatif dan biografi, seterusnya memperkukuh reputasi universiti sebagai peneraju penerbitan pendidikan negara.

Beliau berkata, antara kejayaan yang dicapai termasuk kemenangan dalam Kategori Pendidikan dan Akademik: Buku Ilmiah Popular menerusi buku Pendekatan Awal Kanak-kanak: Penglibatan Keluarga dan Komuniti di Taska dan Tadika oleh Nordin Mamat dan Abdul Talib Mohamed Hashim, yang menekankan pendekatan holistik pendidikan awal melalui kerjasama komuniti.

UPSI turut meraih pengiktirafan dalam Kategori Penerbitan dan Rekabentuk Buku Terbaik melalui buku Seronok Numerasi: Pendekatan Peringkat Kefahaman Numerasi, reka bentuk oleh Zuzalina Zulkanain, yang dinilai menyerlah menerusi susun atur visual yang kemas dan mesra pembaca.

Dalam Kategori Umum & Ilmiah: Buku Sejarah dan Biografi Terbaik, UPSI menang melalui buku Persekutuan Melayu Melaka: Sejarah Kepemimpinan Negeri Para Pahlawan Melayu di Mesir dan Sumbangannya tulisan Muhammad Hafiz Samsuddin, yang mendokumentasikan sejarah masyarakat Melayu di Mesir secara komprehensif.

Dua lagi anugerah yang diraih ialah Kategori Kreatif: Cerpen/Perkumpulan Cerpen Terbaik menerusi karya Pertemuan di Tepi Tasik oleh A. Wahab Rauf, serta Kategori Buku Biografi Terbaik melalui Memoir Rimbunan Cinta Bonda karya Kamariah Kamaruddin.

image is not available
Warga Penerbit UPSI meraikan kejayaan apabila lima karya terbitan universiti diumumkan sebagai pemenang Anugerah Buku Negara 2024–2025

Nordiana berkata, kejayaan itu hasil komitmen dan kerjasama rapat antara para penulis, pereka grafik dan pasukan editorial Penerbit UPSI dalam memastikan setiap karya mematuhi piawaian kualiti tertinggi.

“Saya amat menghargai dedikasi seluruh warga Penerbit UPSI yang bekerja keras untuk memastikan setiap naskhah diterbitkan dengan standard terbaik. 

“Pengiktirafan ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak karya berkualiti yang mampu mengangkat nama UPSI ke peringkat nasional dan antarabangsa,” ujar beliau.

Majlis Anugerah Buku Negara 2024–2025 disempurnakan oleh Pengerusi Panel Juri Antarabangsa, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Anuwar Ali bersama Pengerusi Sekretariat Anugerah Buku Negara, Dr. Hasan Hamzah.

Turut mewakili UPSI pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan), Dr. Laili Farhana Md. Ibharim, yang hadir bagi meraikan para penulis dan pereka grafik yang membawa kejayaan kepada universiti.