Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengorak langkah dalam memperkasa penyelidikan berimpak tinggi apabila Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, berjaya memperoleh geran Public-Private Research Network (PPRN) Fasa 1/2026.
Kejayaan itu mencatat sejarah tersendiri apabila beliau muncul sebagai satu-satunya wakil UPSI yang menerima geran berkenaan bagi fasa ini, sekali gus menjadi penerima pertama geran daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) untuk tahun 2026.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr. Suriani Abu Bakar, geran tersebut turut melibatkan kerjasama strategik bersama rakan industri, Puan Zaliza Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Genius Aulad dan Gains Education Group.
"Kolaborasi ini mencerminkan sinergi kukuh antara sektor akademia dan industri dalam membangunkan penyelidikan yang bukan sahaja relevan, malah praktikal serta berimpak tinggi kepada masyarakat.
"Selain itu, projek penyelidikan berkenaan disokong oleh barisan penyelidik bersama berpengalaman iaitu Dr. Laili Farhana Md Ibrahim dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi UPSI serta Dr. Hazhari Ismail dari Fakulti Pembangunan Manusia UPSI.
Menurut beliau, gabungan kepakaran pelbagai disiplin ini dilihat mampu memperkukuh pelaksanaan penyelidikan secara menyeluruh dan bersepadu.
Majlis penyerahan replika cek bernilai RM66,000 itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir. Pengiktirafan ini membuktikan komitmen tinggi penyelidik UPSI dalam menerajui agenda penyelidikan berimpak, khususnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Tambah Suriani, projek yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada pembangunan bahan bacaan awal kanak-kanak berasaskan teknologi digital yang sejajar dengan keperluan Kurikulum Prasekolah 2026. Inisiatif ini dijangka mampu meningkatkan tahap literasi awal serta menyokong perkembangan kognitif kanak-kanak secara lebih efektif dan interaktif.
"Pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama UPSI dan NCDRC, malah memperlihatkan keupayaan institusi pendidikan tinggi negara dalam menjalin kerjasama strategik bersama industri bagi memperkasa agenda pendidikan negara.
“Usaha berterusan ini diharap dapat menyumbang kepada pembentukan generasi masa depan yang celik ilmu, inovatif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)