UPSI, SEAMEO SEN jalin kerjasama strategik, kukuhkan Pendidikan Inklusif

6 Aug 2025 • 9:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI, SEAMEO SEN jalin kerjasama strategik, kukuhkan Pendidikan Inklusif
Datuk Seri Fatimah Abdullah (lima dari kiri) bergambar bersama delegasi UPSI dan SEAMEO SEN ketika Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas Ke-6 (ICSE 2025) di Hotel UCSI, Kuching, Sarawak, baru-baru ini. Photo Credit: Hasrul Hosshan

KUCHING, 28 Julai – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh peranannya sebagai hab pendidikan inklusif negara dengan menjadi rakan strategik kepada Regional Centre for Special Educational Needs (SEAMEO SEN) dalam penganjuran Persidangan Antarabangsa Pendidikan Khas Ke-6 (ICSE 2025) yang berlangsung selama dua hari di Hotel UCSI, di sini.

Persidangan bertemakan ‘Technology for Disabilities: A Path to Inclusion itu menghimpunkan pakar pendidikan khas, penyelidik, penggubal dasar dan aktivis dari rantau ASEAN serta peringkat antarabangsa, bagi memperkukuh penggunaan teknologi dalam memudah cara akses pendidikan setara untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (Letter of Intent, LOI) antara UPSI dan SEAMEO SEN bagi memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan, latihan guru, inovasi pendidikan serta pembangunan kapasiti komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah yang hadir menyaksikan majlis berkenaan, menyokong usaha bersama itu sebagai transformasi pendidikan yang lebih inklusif dan menyeluruh.

Menurut beliau, hasil jaringan strategik yang dirintis SEAMEO SEN, UPSI turut menjalin hubungan awal dengan Suruhanjaya Tinggi British, yang membawa kepada pemeteraian persefahaman awal bersama Oxford Education (OxEd), University of Oxford.

“Kerjasama itu bakal membuka peluang dalam bidang latihan guru, penyelidikan dan pembangunan inisiatif pendidikan inklusif bertaraf antarabangsa,” ujar beliau.

Dalam mendukung inovasi pendidikan inklusif, UPSI turut memperkenalkan geran pembangunan prototaip bernilai RM10,000 kepada tiga pemenang Platinum bagi setiap kategori dalam Pertandingan Inovasi Pendidikan Inklusif (iDIEC) yang berlangsung serentak dengan ICSE 2025.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Inklusif Komuniti dan OKU (CIRCLE) UPSI, Dr Hasrul Hosshan berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah konkrit UPSI dalam menyokong agenda pendidikan berasaskan empati dan teknologi.

“Dengan sokongan geran ini, pemenang bukan sahaja diberi pengiktirafan, malah berpeluang merealisasikan idea kepada produk sebenar yang boleh dimanfaatkan secara meluas oleh komuniti pendidikan khas dan OKU.

Persidangan turut memberi pengiktirafan kepada model pendidikan awal dan intervensi seperti SeDidik dan Pusat OSEIC di Sarawak, yang menunjukkan kejayaan menyantuni kanak-kanak berkeperluan khas melalui pendekatan holistik, latihan guru inklusif dan penggunaan teknologi digital saringan awal, hasil kerjasama dengan syarikat Jepun, TOY8.

“Melalui kerjasama strategik yang terbina, UPSI komited untuk terus mendepani transformasi pendidikan inklusif yang lebih mampan, responsif dan bertaraf antarabangsa,” katanya

Hadir sama Pengarah Sekretariat SEAMEO, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Zainal Abas; Pengarah SEAMEO SEN, Jamilah Kadir; Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli dan Ketua Bahagian Perkembangan Awal Kanak-kanak, Salina Bujang.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.