UPSI terbit buku keusahawanan Braille pertama Malaysia, perkasa usahawan orang buta

Business & Finance
1 Jul 2026 • 10:30 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: UPSI terbit buku keusahawanan Braille pertama Malaysia, perkasa usahawan orang buta
Dr. Mohamad Rohieszan (berdiri tiga dari kanan) bergambar bersama bakal-bakal usahawan OKU penglihatan ketika mempamerkan hasil aktiviti Kansas Model Perniagaan (BMC) di Kompleks MAB Kuala Lumpur. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta satu lagi pencapaian dalam bidang penyelidikan berimpak apabila berjaya menerbitkan buku keusahawanan dalam tulisan Braille pertama di Malaysia, Memperkasa Asas Berniaga (MAB), sekali gus membuka akses lebih luas kepada komuniti orang buta untuk menceburi bidang keusahawanan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr. Suriani Abu Bakar berkata penerbitan buku itu membuktikan penyelidikan universiti bukan sekadar menghasilkan penemuan akademik, malah mampu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Penerbitan buku ini mencerminkan usaha universiti dalam memastikan hasil penyelidikan bersifat inklusif, boleh dimanfaatkan semua lapisan masyarakat dan membuka lebih banyak peluang kepada golongan kurang upaya untuk berdikari melalui keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kejayaan penerbitan buku yang mengandungi tiga jilid dalam tulisan Braille itu, yang dihasilkan menerusi penyelidikan diketuai pensyarah UPSI, Dr. Mohamad Rohieszan Ramdan.

Menurut Mohamad Rohieszan, idea menghasilkan buku berkenaan tercetus selepas projek perundingan bersama Malaysian Association for the Blind (MAB) pada tahun 2024 mendapati usahawan orang buta berdepan kekurangan bahan pembelajaran dan rujukan berkaitan keusahawanan yang mudah diakses.

“Ramai individu buta mempunyai semangat tinggi untuk berniaga, namun mereka tidak mempunyai bahan rujukan yang sesuai. Keperluan inilah yang mendorong kami menghasilkan buku keusahawanan dalam format Braille supaya ilmu perniagaan dapat diakses secara sama rata,” katanya.

Beliau berkata penerbitan buku tersebut direalisasikan menerusi Geran Fundamental Research Grant Scheme – Exploratory Concept (FRGS-EC) daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjumlah RM30,000 yang menjadi pemangkin kepada pelaksanaan penyelidikan, jalinan kerjasama strategik serta penerbitan buku sepanjang tempoh tiga tahun.

Diterbitkan oleh Penerbit UPSI pada tahun 2025, buku Memperkasa Asas Berniaga (MAB) dalam Kalangan Usahawan Kurang Upaya Penglihatan menghimpunkan pelbagai panduan praktikal merangkumi pembinaan keyakinan diri, pengurusan kewangan, strategi pemasaran digital, penggunaan aplikasi WhatsApp Business dan TikTok serta langkah memulakan perniagaan.

Image from: UPSI terbit buku keusahawanan Braille pertama Malaysia, perkasa usahawan orang buta
Dr. Mohamad Rohieszan bersama Dr. Nor Liza memegang buku Memperkasa Asas Berniaga (MAB). Photo credit: UPSI

Penerbitan itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Malaysian Association for the Blind (MAB), MARDI, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta beberapa institusi pengajian tinggi, sekali gus mencerminkan sinergi antara akademia, agensi kerajaan dan komuniti dalam menghasilkan inovasi berimpak tinggi.

Selain menjadi bahan rujukan utama kepada komuniti orang buta, buku tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang kepada golongan berkenaan untuk menjana pendapatan secara berdikari melalui keusahawanan, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti hidup mereka.

Projek penyelidikan itu turut mendapat bimbingan mentor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datin Dr. Nor Liza Abdullah, selain menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dibentangkan pada QS Reimagine Education Awards & Conference 2024 di London dalam kategori Access, Diversity & Inclusion.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved