Urusharta Jamaah muncul sebagai pemegang saham utama dalam Elridge Energy dengan pegangan 5.26%

LocalBusiness & Finance
16 Jul 2025 • 10:17 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Urusharta Jamaah muncul sebagai pemegang saham utama dalam Elridge Energy dengan pegangan 5.26%

image is not available

16/07/2025 - 10:17

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Julai - Urusharta Jamaah Sdn Bhd, syarikat tujuan khas di bawah Kementerian Kewangan Malaysia muncul sebagai pemegang saham utama dalam Elridge Energy Bhd dengan pegangan langsung sebanyak 5.26%.

Elridge dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, entiti milik kerajaan yang pada asalnya ditugaskan untuk mengambil alih aset berprestasi rendah daripada Lembaga Tabung Haji memperoleh 7.19 juta saham dalam syarikat pengeluar bahan api biojisim itu pada 9 Julai lepas, menjadikan jumlah keseluruhan saham yang dipegang kepada 105.19 juta saham, bersamaan kepentingan sebanyak 5.26%.

Elridge terlibat dalam pembuatan dan perdagangan produk bahan api biojisim, seperti tempurung sawit (PKS) dan pelet kayu.

Syarikat itu diterajui Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Oliver Yeo Hock Cheong yang memiliki pegangan langsung sebanyak 6.98%.

Hock Cheong mempunyai kepentingan tidak langsung sebanyak 16.37% melalui Kayavest Sdn Bhd dan 9.32% melalui Bio Eneco Holding Sdn Bhd, menjadikan jumlah keseluruhan kepentingannya dalam Elridge melebihi 32%.

Syarikat itu disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Ogos 2024 dan berjaya mengumpul RM101.5 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO).

Kumpulan itu memperuntukkan lebih dua pertiga daripada hasil IPO kepada perbelanjaan modal, terutamanya bagi pembinaan kilang dan gudang baharu di Kuantan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 240,000 tan.

Mereka juga merancang membeli peralatan bagi kilangnya di Kuantan, Johor dan Sabah, selain memperuntukkan sebahagian daripada hasil IPO bagi modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Pada masa ini, kumpulan tersebut beroperasi dari sebuah kilang di Pelabuhan Klang dengan kapasiti tahunan sebanyak 720,000 tan, yang telah mencapai hampir 74% kadar penggunaan menjelang akhir 2023.

Menurut prospektus IPO, Singapura merupakan pasaran terbesar bagi syarikat itu sepanjang empat bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 April 2024 (4MFY24), menyumbang 47.6% daripada hasil.

Ia diikuti Indonesia (31.5%), Jepun (14%) dan Malaysia (6.8%).

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), Elridge melaporkan pendapatan sebanyak RM109.67 juta dan keuntungan bersih sebanyak RM13.58 juta, yang sebahagian besarnya disumbangkan pelanggan di Jepun, Indonesia dan Malaysia.

Produk PKS terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan, menyumbang RM95.81 juta atau 87.36% daripada hasil, manakala pelet kayu menyumbang RM13.87 juta atau 12.64%. - DagangNews.com

standard