‘Usah Dilayan Apa Muhyiddin Nak’ - Najib

Politics
3 Jul 2022 • 12:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Najib Razak - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak menempelak tuntutan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Timbalan Perdana Menteri dilantik dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengan menyifatkannya bukan keutamaan ketika ini.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, permintaan tambahan Muhyiddin agar kerajaan menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri (MPN) juga dianggap tidak relevan.

Najib berkata, saranan itu didakwanya hanya sebagai ‘gula-gula politik’ dan tindakan terdesak.

“(Saranan itu) dijadikan gula-gula untuk elak lagi ramai pemimpin PPBM (BERSATU) lompat keluar partinya seperti sedang berlaku sejak awal tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Adakah prioriti negara ketika ini untuk lantik Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri baru, pelbagai jawatan baharu...

Posted by Najib Razak on Saturday, July 2, 2022

Ahli Parlimen Pekan itu pada masa sama, mempersoalkan kewajaran Muhyiddin untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan menteri baharu.

“Adakah prioriti negara ketika ini untuk lantik Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri baharu, pelbagai jawatan baharu dan menubuhkan banyak lagi majlis serta jawatankuasa?

“Sedangkan PRU (pilihan raya umum) semakin dekat, paling lama pun kurang setahun lagi,” katanya.

Justeru, Najib berharap kerajaan tidak melayani kehendak Perdana Menteri kelapan itu, sebaliknya memberi fokus kepada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi.

“Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Bukan jawatan didahulukan, berlambak majlis ditubuhkan,” sindirnya.

Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan beliau mengadakan perjumpaan dengan Ismail Sabri bagi membincangkan isu lantikan jawatan baharu, termasuk kerusi Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin berharap Perdana Menteri membuat keputusan secepat mungkin hasil perbincangan berkenaan. - Getaran, 3 Julai 2022

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved