KES bayi meninggal dunia di tangan pengasuh sekali lagi mengejutkan masyarakat. Merak Jalanan sendiri kecewa dengan sikap segelintir pengasuh yang diamanahkan oleh ibu bapa untuk menjaga anak ketika mereka keluar bekerja.
Kerja sebagai pengasuh bukan sekadar beri makan atau menukar lampin kerana ia adalah ujian emosi yang jika tersilap langkah boleh menyebabkan keluarga kehilangan anak.
Realitinya, tidak semua orang sesuai menjadi pengasuh kerana tangisan dan rutin tidak menentu bayi memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.
Ramai mungkin berfikir ia kerja santai yang tidak perlukan apa-apa kemahiran khusus dan hanya perlu ‘suka kanak-kanak’ atau ‘boleh jaga budak’.
Ada yang melihat tugas pengasuh sebagai kerja sambilan yang boleh trial and error.
Pada pendapat Merak Jalanan, jika kesabaran hanya senipis kulit bawang, mungkin lebih baik jangan berangan mahu jadi pengasuh kerana tugas itu bukan untuk mereka yang cepat naik angin apabila bayi mula meragam.
Ketika inilah datangnya ujian sebenar yang bukan pada kekuatan fizikal, tetapi pada ketahanan emosi kerana tanggungjawab itu tidak ada butang ‘pause’ yang boleh berehat sesuka hati kerana kebanyakan bayi memerlukan perhatian tanpa kompromi.
Setiap pengasuh perlu sedar bahawa kelalaian beberapa saat boleh meragut nyawa tidak berdosa. Dalam dunia penjagaan kanak-kanak, kesilapan kecil boleh menjadi tragedi yang dikesali sepanjang hayat.
Merak Jalanan yakin kes kematian bayi di bawah jagaan pengasuh sebenarnya boleh dielak sekiranya mereka memahami besarnya tanggungjawab menjaga nyawa si kecil.
Cuba bayangkan jika bayi tersebut merupakan darah daging kita sendiri.
