
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berharap Putrajaya segera merealisasikan apa yang sudah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tanpa bertangguh lagi.
Beliau berkata, mahkamah sudah membuat keputusan dan tafsirannya, manakala undang-undang juga sudah memberikan ruang sewajarnya, justeru tinggal kemahuan politik saja untuk melaksanakannya.
“Kita tidak meminta bulan jatuh ke riba, cuma berharap Putrajaya merealisasikan perkara yang sudah tertulis dalam MA63, tanpa bertangguh lagi, tanpa alasan demi alasan yang berpusing seperti roda tanpa henti,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan ke atas Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, merujuk sesi penjelasan Perdana Menteri pada 22 Oktober berkaitan pendirian Kerajaan Madani mengenai pemberian khas untuk Sabah serta pelaksanaan MA63.
Sambil merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas penjelasan itu, Matbali berkata ia memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Pusat untuk memahami denyut nadi rakyat Sabah.
Katanya. ia susulan penantian yang sekian lama rakyat terhadap perkara yang telah dipersetujui dalam perjanjian bersejarah tersebut.
“Yang nyata, penerangan Perdana Menteri itu menyingkap komitmen cukup jelas dan tuntas bahawa kerajaan Madani prihatin terhadap hak, kepentingan dan kedudukan Sabah sebagaimana yang termaktub dalam MA63.
“Sejak sekian tahun, sebutan MA63 ini bagaikan ‘puisi cinta lama’ yang dibaca dengan penuh nostalgia, tetapi tidak dihayati maknanya.
“Namun, saya yakin kerajaan yang berjiwa Madani ini, kasih cinta itu akan diterjemah dalam bentuk tindakan, dan bukan lagi sekadar dalam wacana,” katanya sambil menyatakan Sabah hanya menuntut hak yang sudah tertulis dalam perjanjian itu.
Matbali turut membandingkan kemajuan di kota besar di Semenanjung yang dihubungkan dengan kereta api laju, dengan lebuh raya enam lorong Plus dari Utara sampai Selatan.
Sedangkan di Sabah, katanya, wilayah itu masih bergantung pada jalan-jalan kampung yang berlubang-lubang dan menunggu puluhan tahun untuk diturap walaupun wilayah ini sering dianggap negeri kaya dengan hasil bumi, namun rakyatnya masih miskin di dapur sendiri.
Justeru, katanya, apabila rakyat mempersoalkan keadaan itu, yang disergah bukan sejarah masa lalu, tapi yang dikecam kerajaan yang ada pada hari ini, iaitu kerajaan GRS-PH di peringkat negeri, dan kerajaan Malaysia MADANI di Putrajaya.
Sehubungan itu, Matbali berharap kerajaan negeri dan Persekutuan sama-sama berganding bahu membangunkan Sabah.
“Ini bukan soal siapa yang lebih berjasa, siapa yang lebih berkuasa, tapi siapa sebenarnya yang lebih berjiwa rakyat.
“Kita tidak mahu lagi menjadi bahan gurauan politik, kononnya mundur, kononnya tidak pandai mengurus. Padahal urus tadbir tanpa kuasa penuh, hanyalah seperti kapal tanpa kemudi,” katanya.
Menjelang pilihan raya umum Dewan Undangan Sabah tidak lama lagi, Matbali mahu semua pihak menggalas tanggungjawab yang tertulis dalam MA63 ini secara kolektif, supaya tidak menjadi bahan ejekan para seteru politik.
“Marilah kita melaksanakan amanah ini dengan jujur dan bersungguh-sungguh, agar rakyat dapat melihat bahawa kerajaan yang ada hari ini benar-benar ikhlas.
Janganlah MA63 ini hanya menjadi dendangan ketika kempen pilihan raya, tetapi hilang dalam senyap selepas musimnya berakhir,” tegasnya.
