Usaha Bela Palestin Belum Berakhir, Perlu Gandakan Sokongan - PM

LocalPolitics
25 Aug 2025 • 11:29 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim ketika memyampaikan syarahan di Dataran Merdeka, malam tadi - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Usaha membela nasib rakyat Palestin masih belum berakhir dan sokongan itu harus digandakan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersama rakan antarabangsa yang lain akan terus menyalurkan bantuan, dari rawatan perubatan hingga peluang pendidikan.

Memberi jaminan itu beliau berkata, ia dibuktikan menerusi tambahan dana oleh Kerajaan MADANI berjumlah RM100 juta untuk rakyat Palestin yang diumumkan semasa memberi syarahan pada Karnival Sumud Nusantara 2025 di sini. 

“Malam tadi di Dataran Merdeka, saya bersama puluhan ribu rakyat Malaysia berhimpun untuk menyatakan tekad kita bersama rakyat Gaza dan Palestin.

“Alhamdulillah, seluruh dunia melihat rakyat Malaysia bangkit bersatu menolak kezaliman, menentang pembunuhan anak-anak kecil dan wanita serta menuntut keadilan yang telah dinafikan sejak puluhan tahun, tatkala tatanan dunia gagal memberi jaminan hidup sebagai manusia buat rakyat Palestin,” katanya. 

image is not available

Tegas Anwar, tanah Palestin dirampas sejak puluhan tahun lalu, malah kediaman mereka dihancurkan dan sekolah serta rumah ibadat seperti masjid atau gereja turut tidak tidak terlepas daripada kezaliman Zionis. 

“Apa yang berlaku di Gaza hari ini bukan sekadar peperangan, tetapi penjajahan dalam bentuk paling zalim dan tidak berperikemanusiaan

“Ini bukan perbuatan manusia, ini perbuatan haiwan! Segalanya dirampas, tanah, rumah, keluarga, nyawa,” katanya, berang. 

Apa yang lebih menyebalkan jelas beliau, dunia yang lantang mendabik dada dalam isu hak asasi dan demokrasi, memilih untuk berpaling.

“Tetapi Malaysia tidak pernah berpaling. Dalam setiap pertemuan antarabangsa, di Tokyo, Beijing, New Delhi, mahupun Eropah, tidak pernah saya lupa untuk membawa suara saudara kita yang dizalimi di Gaza.

“Kita tahu adakalanya perjuangan ini terasa melelahkan. Kadangkala terasa buntu dan tanpa harapan. Tetapi janji Allah jelas. Pertolongan-Nya itu dekat. Kita perlu terus percaya dan teguh melangkah tanpa takut dan gentar. Percayalah, kebenaran dan keadilan pasti akan menang,” katanya. 

image is not available

Anwar menarik perhatian, semangat merdeka yang menyala dalam diri setiap rakyat Malaysia sempena kemerdekaan negara bulan ini harus diteruskan bersama Palestin. 

“Bulan ini bulan kemerdekaan kita. Seperti pejuang-pejuang lampau di tanah air, di Indonesia, India, Vietnam yang bangkit melawan penjajah, maka semangat merdeka itu kini kita teruskan bersama Palestin. 

“Atas semangat ini, kita kirimkan segala usaha dan doa kita buat rakan-rakan aktivis yang akan belayar ke Gaza pada 31 Ogos ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, suara yang bergema malam tadi bukan membawa wadah perjuangan parti atau mewakili kaum tertentu. 

“Ini suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan. Jangan biarkan perpecahan melemahkan kita.

“Kepada saudara-saudara kita di Gaza dan Palestin, ketahuilah kami tidak akan meninggalkan kalian. Kami belajar daripada semangat kalian, kami hormati dan junjung tinggi perjuangan kalian. Dengan izin Allah, kami akan teguh bersama kalian buat selamanya,” katanya. - Getaran, 25 Ogos 2025