Usaha jatuhkan Muhyiddin bermula 2021, ketua dipandang ‘sebelah mata’ – Marzuki

LocalPolitics
28 Oct 2025 • 4:01 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mengakui usaha menjatuhkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah lama bermula sejak beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2021.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, berlaku perubahan sikap yang ketara dalam kalangan beberapa pemimpin kanan parti selepas peletakan jawatan itu.

Marzuki turut mengakui, dalam kalangan pemimpin Bersatu sendiri mula menjauhkan diri dari Muhyiddin malah arahannya tidak diambil serius sehingga ada mesej yang dihantar melalui telefon tidak dijawab berhari-hari.

"Malah, seorang pemimpin sayap muda parti yang boleh dikatakan 'anak emas' Muhyiddin, mula bercakap secara terang-terangan bahawa Muhyiddin tidak lagi relevan.

"Maklumlah, walaupun sebagai ketua parti, beliau tidak berjawatan dalam Kabinet, sedangkan yang lain-lain itu menteri dengan kuasa dan pengaruh besar.

"Susah juga sebenarnya apabila menjadi ketua parti yang tiada jawatan dalam kerajaan. Ketua dipandang sebelah mata," katanya semalam dalam satu kenyataan.

Marzuki dalam kenyataan itu berkata, beliau secara santai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pernah bertanya sama ada Muhyiddin akan bersara kerana melihat kesukaran dihadapinya dalam memimpin parti.

Ketika itu, beliau mendakwa beberapa orang kanan Bersatu tidak lagi hormat kepada Muhyiddin dan parti tiada wang, manakala PAS belum membuat keputusan hendak bekerjasama dengan Bersatu ataupun Umno.

"Saya beritahu beliau, kalau PAS memilih untuk bekerjasama dengan Umno, maka Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mungkin berkubur pada PRU15.

"Beliau jawab dengan tenang kepada saya. Beliau kata kalau memikirkan mengenai dirinya, sudah lama beliau berhenti. Itu pilihan yang paling mudah untuk beliau dan paling disukai oleh ahli keluarganya.

"Namun sebagai ketua parti, beliau ada tanggungjawab. Takkan beliau hendak berundur tatkala bala tenteranya sedang menghadapi perang. Itu akan memberikan kekalahan moral kepada PN sebelum turun berjuang di medan pilihan raya umum (PRU)," katanya.

Mereka kemudiannya membuat kesimpulan untuk menjadikan PRU15 sebagai percubaan akhir yang menentukan kemenangan atau kekalahan parti.

"Namun, berundur tidak sekali. Biar putih tulang, jangan putih mata. Ditakdirkan Allah SWT, PAS memilih untuk bersama PN dan gelombang 'Abah' menjadi fenomena yang membantu kemenangan PN.

"Hasilnya, PN menang 74 kerusi Parlimen pada cubaan kali pertamanya bertanding pada PRU. PN bukan parti nyamuk yang akan hilang sekelip mata seperti tanggapan sesetengah orang.

"Muhyiddin sebagai Pengerusi PN kemudiannya telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Namun, nasib masih tidak menyebelahi beliau. Takdir Ilahi telah menentukan beliau bukan PM ke-10," katanya lapor BH.

Selepas kegagalan PN membentuk kerajaan, terdapat suara menyalahkan Muhyiddin dan ketegasannya mula dipersoalkan kerana mempertahankan prinsip tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH). - 28 Oktober, 2025

The post Usaha jatuhkan Muhyiddin bermula 2021, ketua dipandang ‘sebelah mata’ – Marzuki appeared first on Scoop.